Dua kategori lakonan utama Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik menjadi antara detik paling dinantikan pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang bakal berlangsung esok di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri.
Selain Filem Terbaik, kedua-dua kategori ini dianggap kemuncak kepada pengiktirafan tertinggi dalam dunia lakonan tempatan.
Ia bukan sekadar trofi, tetapi simbol kepada usaha, pengorbanan dan perjalanan seorang pelakon dalam menghidupkan watak dengan penuh jiwa di layar perak.
Tahun ini, saingan dilihat paling sengit dalam sejarah penganjuran FFM apabila barisan calon datang daripada pelbagai genre daripada aksi, kisah benar, hingga ke drama psikologi dan naratif kekeluargaan.
Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, lima nama besar yang tersenarai ialah Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers: Bara Naga), Beto Kusyairy (Reversi), Qi Razali (Babah), Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).

Sharnaaz dilihat antara calon pilihan berdasarkan impak besar filem Blood Brothers: Bara Naga yang mencatat kutipan lebih RM76 juta. Dalam naskhah aksi-drama itu, Sharnaaz mempersembahkan lakonan yang menggabungkan kekuatan fizikal dan kedalaman emosi, terutama dalam babak konfrontasi yang menuntut kawalan intensiti tinggi.
Namun, dari sudut seni dan tafsiran watak, Beto Kusyairy tampil sebagai pencabar utama. Menerusi Reversi, Beto memperlihatkan kematangan sebagai pelakon versatil yang berani keluar daripada zon selesa. Kritikus menyifatkan lakonannya ‘tenang di luar, bergolak di dalam’ memperlihatkan kemampuan menghidupkan watak kompleks dengan gaya minimalis tetapi berkesan.
Qi Razali pula menonjol melalui Babah, filem kekeluargaan yang menyentuh hati. Wataknya sebagai ayah pekak yang berjuang dengan emosi memberi ruang untuk Qi menonjolkan sisi lembut dan jujur. Lakonannya mungkin sederhana, tetapi ketulusannya mencipta kesan mendalam kepada penonton.
Aeril Zafrel dan Tony Eusoff turut memperkukuh senarai dengan lakonan mantap masing-masing. Aeril membawa sisi gelap dengan penuh intensiti dalam Laknat, manakala Tony menghidupkan semula pesona Tan Sri P. Ramlee melalui watak peniru gaya seniman agung itu dalam Mencari Ramlee.
Wanita Terbaik: Kehalusan Jiwa & Ketulusan Lakonan Jadi Taruhan

Saingan kategori Pelakon Wanita Terbaik juga tidak kurang hebat dengan lima calon pilihan Nabila Huda (Telaga Suriram), Datin Sofia Jane (Mencari Ramlee), Sweet Qismina (Babah), Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang, Aku Tahu Asal Usul Mu) dan Maya Karin (Telaga Suriram).
Nabila Huda tampil berani apabila membawa watak tanpa dialog dalam Telaga Suriram. Segala emosi dan konflik dalaman disampaikan hanya melalui bahasa tubuh dan ekspresi wajah menonjolkan kematangannya sebagai pelakon yang berani mencuba sesuatu di luar kebiasaan.
Sofia Jane pula memukau dalam Mencari Ramlee dengan watak yang sarat simbolik. Setiap gerak tubuh dan tutur katanya penuh makna, menzahirkan karakter Zaiton dengan keanggunan dan emosi yang mendalam. Persembahan Sofia mengingatkan semula pesona klasik yang sudah lama dirindui di layar besar.
Sweet Qismina juga tidak kurang hebat apabila menyerlah dalam Babah. Walaupun muda, Sweet menunjukkan kematangan luar biasa, membawakan hubungan bapa-anak dengan keikhlasan yang menyentuh jiwa.
Khatijah Tan mengekalkan kehebatan sebagai pelakon senior berkarakter kuat, sementara Maya Karin terus membuktikan kelasnya sebagai pelakon versatil yang mampu menjiwai pelbagai peranan.
Melihat senarai calon, tahun ini menyaksikan persaingan yang benar-benar terbuka. Jika juri menilai keberanian dan pendekatan artistik, nama seperti Beto Kusyairy dan Sofia Jane mungkin menjadi pilihan utama.
Namun, jika penekanan diberi pada penghayatan dan impak emosi, Sharnaaz Ahmad dan Nabila Huda mempunyai peluang besar untuk dinobatkan.
Qi Razali dan Sweet Qismina juga tidak boleh diketepikan kerana lakonan mereka yang tulus dan realistik sesuatu yang semakin dihargai dalam sinema moden.
FFM34 bakal berlangsung pada 1 November ini di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri dan disiarkan secara langsung menerusi TV2. Majlis gilang-gemilang itu akan dikendalikan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim.
Selain trofi, kategori Filem Terbaik tahun ini menawarkan Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta kepada pemenang.
Tidak kira siapa yang bakal diumumkan sebagai pemenang, calon-calon FFM34 sudah membuktikan mutu lakonan Malaysia kini berada di tahap membanggakan matang, berani bereksperimen dan penuh kejujuran dalam seni.





