ENJIN semangat pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, kini benar-benar dihidupkan ke gear dunia apabila bakal beraksi dalam dua pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kategori Moto3 2025, sekali gus menandakan langkah besar dalam kariernya ke pentas global.
Pelumba berusia 17 tahun itu dipilih menggantikan Ryusei Yamanaka yang mengalami kecederaan, untuk mewakili pasukan MT MSi Racing Team di Grand Prix (GP) Portugal (7–9 November) dan GP Valencia (14–16 November).
Lebih menarik, kemunculan ini bakal menjadi pentas pemanasan terbaik buatnya sebelum menyertai musim penuh Moto3 2026.
“Saya amat berterima kasih kepada MSi Racing Team atas peluang ini. Saya akan belajar sebanyak mungkin dan menyesuaikan diri dengan jentera Moto3, yang jelas berbeza daripada motosikal Rookies Cup dan JuniorGP,” ujar Hakim Danish.
Sementara itu, Pengarah ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, menyifatkan peluang tersebut sebagai langkah awal untuk mengenali tekanan sebenar perlumbaan peringkat dunia.
“Saya tidak meletakkan jangkaan tinggi, cuma mahu dia kekal kompetitif dan gunakan peluang ini untuk memahami jentera serta pasukan.
“Ini ujian berharga sebelum musim penuh tahun depan,” jelas Zulfahmi yang juga bekas pelumba Moto3 negara.
Ringkasan AI
- ENJIN semangat pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, akan beraksi dalam dua pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kategori Moto3 2025
- Pelumba berusia 17 tahun itu dipilih menggantikan Ryusei Yamanaka yang mengalami kecederaan
- Penampilan Hakim dalam MotoGP bertujuan sebagai pemanasan sebelum menyertai musim penuh Moto3 2026
- Hakim berterima kasih kepada MSi Racing Team atas peluang tersebut dan akan belajar menyesuaikan diri dengan jentera Moto3
- Pengarah ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, melihat kemunculan ini sebagai langkah awal Hakim mengenali tekanan perlumbaan peringkat dunia





