Bantu elak penipuan digital

Bantu elak penipuan digital

Bantu elak penipuan digital


Alor Setar: Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network FEN) telah menganjurkan siri Jelajah Skuad Celik Kewangan di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan penjawat awam terhadap literasi kewangan termasuk kewangan digital dan keselamatan dalam talian.

Program ini memberi pendedahan kepada kakitangan kerajaan mengenai kepentingan mengurus kewangan secara bijak serta langkah-langkah melindungi diri daripada penipuan kewangan yang semakin berleluasa.

Dalam taklimatnya, BNM menekankan beberapa fokus utama, termasuk cara mengenal pasti taktik penipuan di media sosial, memahami modus operandi scammer, serta mengamalkan keselamatan digital seperti penggunaan pengesahan berbilang faktor dan pemantauan transaksi mencurigakan.

Peserta turut diingatkan mengenai risiko menjadi akaun keldai apabila menyewakan akaun atau kad bank kepada pihak lain yang boleh membawa hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun, denda RM10,000 hingga RM100,000, atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan kewangan disaran segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam.

Sekiranya menyedari berlaku pemindahan wang tanpa pengetahuan atau kemasukan dana mencurigakan, laporan perlu dibuat segera kepada pihak bank untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut mengadakan sesi penerangan mengenai Asas Pengurusan Wang yang menekankan keperluan menyediakan dana kecemasan, mencatat simpanan dan perbelanjaan serta berbelanja mengikut kemampuan.

AKPK turut menyarankan penjawat awam agar berhutang secara bertanggungjawab, menilai kemampuan sebelum membuat pinjaman dan memastikan pembayaran dibuat sepenuhnya bagi mengelakkan beban kewangan pada masa hadapan.

Sementara itu, kakitangan MADA, Nurazila Azizan, 31, berkata, program itu memberi banyak manfaat terutama dalam aspek kesedaran keselamatan digital.

Katanya, dia sendiri pernah menyaksikan bagaimana rakannya menjadi mangsa penipuan hingga kerugian RM10,000 selepas berurusan untuk memperbaiki mesin basuh melalui Facebook.

“Kawan saya hanya ambil nombor telefon di Facebook. Scammer itu balas Whatsapp dengan cepat dan minta daftar bayaran RM8. Bila transaksi tak lepas, mereka hubungi semula dan ajar langkah seterusnya, tapi sebenarnya masa itu akaun kawan saya sudah digodam.

“Melalui program seperti ini, sekurang-kurangnya kita tahu tindakan awal yang perlu dibuat. Pertama sekali hubungi nombor di belakang kad bank dan talian 997 (Pusat Respons Penipuan Kebangsaan), kemudian baru buat laporan polis.

“Dulu mungkin ramai termasuk saya sendiri fikir kena buat laporan polis dulu,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Sementara itu, Nor Izham Zainol, 41, dari Bahagian Mekanikal dan Elektrikal MADA di Jitra, berkata program berkenaan membantu kakitangan memahami ancaman penipuan dengan lebih jelas.

“Penerangan yang disampaikan mudah difahami. Saya sendiri pernah terima panggilan kononnya daripada LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), tapi selepas dia perkenalkan diri, saya terus putuskan talian sebab tahu itu scam” katanya yang sudah 19 tahun berkhidmat di MADA.

Nor Izham berkata, program seperti itu sangat baik kerana meningkatkan kepekaan penjawat awam terhadap isu keselamatan digital dan pengurusan kewangan yang lebih baik.

“Sekarang saya lebih berhati-hati, sentiasa guna aplikasi True Caller untuk semak nombor tidak dikenali. Saya juga baru tahu tentang laman web PDRM yang boleh digunakan untuk semak nombor akaun atau telefon scammer,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top