am@hmetro.com.my
Dungun: Polis sedang memburu seorang lelaki yang dikesan melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan menunjukkan kemaluan kepada golongan wanita di daerah ini.
Pemangku Ketua Polis daerah Dungun, Deputi Superintendan Jumaidy Bah Chong Weh berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.
Menurutnya, kejadian itu dilaporkan berlaku di hadapan pintu utama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berkenaan.
“Suspek dikatakan menaiki sebuah motosikal dengan melakukan perbuatan tidak senonoh terbabit sebelum melarikan diri.
“Polis turut mengesan satu video tukar dipercayai berkaitan dengan kes yang sama,” katanya.
Jumaidy berkata, gerakan mengesan menahan suspek sedang dijalankan dan polis meminta kerjasama daripada orang ramai menyalurkan maklumat.
“Kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 377D Kanun Keseksaan,” katanya hari ini.
Terdahulu tular satu video berdurasi 12 saat memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal melakukan aksi tidak senonoh di tepi jalan berhampiran sebuah universiti awam di daerah ini.
Beberapa individu tampil mendedahkan turut menjadi mangsa seksual lelaki itu di beberapa lokasi di daerah ini.
Sementara itu, seorang wanita berusia 30 tahun berkata, anak saudara perempuannya yang berusia 13 tahun turut menjadi mangsa gangguan seksual lelaki itu pada 9 Mac lalu.
Katanya, sebelum kejadian, anak saudaranya yang dalam perjalanan ke tempat mengaji di Taman Rakyat, diekori seorang lelaki bermotosikal.
“Ketika anak saudara berhenti menunggu rakannya di situ, lelaki terbabit memberhentikan motosikal di tepi jalan berhampiran sebelum beberapa kali memanggil anak saudara saya.
“Selepas anak saudara saya dan rakannya menoleh, lelaki itu membuka zip seluar dan menunjukkan kemaluannya,” katanya.
Katanya, anak saudaranya menjerit ketakutan dan meminta tolong menyebabkan lelaki itu melarikan diri dengan memecut motosikalnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





