Kemenangan Putera Adam turut membantu VSR merangkul Kejuaraan Pasukan 2025. Foto FB Putera Adam
PELUMBA muda negara, Putera Adam Halim Muazzam melakar sejarah tersendiri apabila diumumkan selaku juara keseluruhan Kategori PRO pada Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah 2025.
Pelumba berusia 19 tahun itu mengungguli dua perlumbaan terakhir di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli, semalam.
Kejayaan tersebut sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai pelumba Malaysia dan Asia pertama yang menjuarai kategori paling kompetitif dalam siri Lamborghini di Eropah.
Anak kelahiran Subang Jaya, Selangor itu mempamerkan kecekapan, ketenangan dan kematangan luar biasa sepanjang musim sulungnya bersama pasukan Vincenzo Sospiri Racing (VSR).
Meskipun bersaing dengan pelumba berpengalaman seperti Enzo Geraci dan Josef Knopp, serta peserta Program Bakat Muda Lamborghini, Putera Adam berjaya mengumpul 114 mata keseluruhan hasil prestasi konsisten pada setiap pusingan.
Musimnya bermula sukar selepas terlibat dalam kemalangan pada pusingan pembukaan Paul Ricard namun semangat juangnya membawa kejutan di Monza apabila beliau bersama rakan sepasukan Paul Levet berhasil menjuarai perlumbaan pertama musim ini.
Prestasi positifnya diteruskan dengan meraih podium di Spa-Francorchamps sebelum memperoleh kemenangan di Barcelona dan kemudiannya menutup musim di Misano dengan dua kemenangan berturut-turut justeru mengesahkan gelaran juara keseluruhan.
“Musim ini penuh cabaran dan pembelajaran. Saya mungkin pelumba paling muda dan kurang berpengalaman di grid, tetapi saya belajar daripada setiap perlumbaan, setiap pusingan serta setiap kesilapan.
“Gelaran ini untuk Malaysia, keluarga saya dan semua yang menyokong saya sejak awal,” katanya dalam kenyataan.
Kemenangan Putera Adam turut membantu VSR merangkul Kejuaraan Pasukan 2025. – Bernama
Ringkasan AI
- PELUMBA muda Malaysia, Putera Adam Halim Muazzam menjadi juara keseluruhan Kategori PRO di Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah 2025
- Putera Adam, berusia 19 tahun, mengungguli dua perlumbaan terakhir di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli
- Dia adalah pelumba Malaysia dan Asia pertama yang menang dalam kategori paling kompetitif siri Lamborghini di Eropah
- Meskipun berdepan kesukaran awal musim akibat kemalangan, semangat juang dan prestasi konsisten Putera Adam membawanya menjadi juara
- Kemenangan Putera Adam turut membantu Vincenzo Sospiri Racing (VSR) merangkul Kejuaraan Pasukan 2025






