Tawau: Calon muda Gagasan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal, bertekad menjadikan kawasan itu sebagai model pembangunan seimbang yang menekankan aspek kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, 29 November ini.
Bekas Pengarah Hospital Lahad Datu berusia 38 tahun itu berkata, harapannya adalah untuk membawa pendekatan berasaskan pengalaman profesional dalam bidang perubatan dan pentadbiran hospital bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan rakyat di peringkat akar umbi.
“Saya melihat Tanjung Batu dengan lokasinya yang strategik berhampiran pusat bandar mempunyai potensi besar untuk maju namun ia memerlukan perancangan strategik dan pengurusan yang berkesan.
“Selain itu, saya juga berhasrat membawa aspirasi dan mengangkat suara anak muda di DUN,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dr Andi, yang pernah berkhidmat lebih 14 tahun dalam sektor kesihatan awam, dilihat sebagai antara calon teknokrat muda dalam barisan GRS kali ini.
Beliau sebelum ini memegang beberapa jawatan penting termasuk sebagai Pengarah Hospital Lahad Datu (2021–2025), Pengarah Hospital Ranau (2019–2021) serta Pegawai Perubatan di Hospital Tawau (2011–2019).
Berpendidikan tinggi, beliau memiliki Ijazah Doktor Perubatan dari Kursk State University, Rusia dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Hospital dari University of the Philippines, Manila, selain turut diiktiraf sebagai Certified Medical Impairment Assessor oleh NIOSH Malaysia.
Anak kelahiran Tawau itu juga penerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2017 & 2022) serta dua darjah kebesaran negeri Sabah iaitu Bintang Kinabalu (2024) dan Ahli Darjah Kinabalu (2025).
Sebagai calon muda yang berpengalaman luas dalam pentadbiran dan pengurusan kesihatan, Dr Andi membawa aspirasi baharu melalui slogannya, “Dekat di hati, Nyata berkualiti,” yang mencerminkan pendekatan kepimpinan berteraskan keprihatinan, kecekapan dan nilai kemanusiaan dalam berkhidmat kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Dr Andi menegaskan komitmennya untuk menumpukan kepada pembangunan modal insan dan memperkukuh akses perkhidmatan asas termasuk kesihatan komuniti, ekonomi tempatan serta pendidikan generasi muda di DUN Tanjung Batu.
“Saya percaya rakyat Tanjung Batu bukan sekadar mendambakan pembangunan fizikal semata-mata, tetapi turut mengharapkan kesejahteraan yang menyeluruh dalam kehidupan seharian mereka.
“Inilah perjuangan saya, mahu membina Tanjung Batu yang sihat, ekonomi yang makmur, berdikari dan berdaya saing,” katanya.
Penyertaan Dr Andi dalam PRN kali ini dianggap menyuntik nafas baharu kepada GRS di kawasan berkenaan, dengan gabungan pengalaman profesional, integriti dan semangat teknorat muda yang mahu berkhidmat kepada masyarakat.
© New Straits Times Press (M) Bhd






