am@hmetro.com.my
Beaufort: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata dua calon BN yang bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias, Osin Jilon dan DUN Kuala Penyu, Datuk Awang Aslee Lakat adalah dua calon kesukaan rakyat di kawasan terbabit.
Katanya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, kedua-dua DUN terbabit ditandingi calon daripada Perikatan Nasional (PN).
“Kita kena ingat pada PRN yang lepas, kedua-dua kerusi ini kita bagi kepada PN untuk bertanding sebab waktu itu PN bersama-sama dengan kita. Bila mereka sudah menang, mereka tinggalkan PN.
“Jadi kali ini, kita buat keputusan bertanding semula di (kubu) kuat BN ini. Dua calon yang kita letak ini adalah calon yang sangat disukai rakyat,” katanya selepas mengiringi dua calon BN ke pusat calon di Dewan Pa Musa, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Johari turut berkata parti BN adalah parti bersejarah yang telah melahirkan ramai pemimpin termasuk Sabah dan Sarawak.
“Kalau kita bandingkan dengan parti-parti lain, mereka ini baharu. Jadi, dia akan kitar semula calon yang sama. Tapi, kita sentiasa mencari pemimpin-pemimpin dan bakat baharu,” katanya sambil menambah BN mencalonkan 80 peratus muka baharu di 45 kerusi ditandingi.
Ditanya mengenai isu 40 peratus hasil Sabah, Johari berkata, calon berkempen boleh mainkan pelbagai isu tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengumumkan Kerajaan Persekutuan tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan perkara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd





