Sabah Diutamakan: Kerajaan MADANI Perkukuh Hak, Infrastruktur Dan Masa Depan Negeri

Sabah Diutamakan: Kerajaan MADANI Perkukuh Hak, Infrastruktur Dan Masa Depan Negeri


Sabah sentiasa menjadi wilayah yang kaya dengan harapan. Di bandar dan kampung dari Kudat hingga ke Kalabakan, rakyatnya sudah lama mendambakan pembangunan yang lebih stabil dan adil.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perjalanan itu menjadi semakin nyata dengan komitmen lebih menyeluruh Kerajaan MADANI yang bukan sekadar menyiapkan projek, tetapi membina asas untuk masa depan yang lebih terjamin.

Pembangunan Sabah selama ini sering dikaitkan dengan projek yang tertangguh dan keperluan asas yang masih belum setara dengan wilayah lain.

Namun di bawah pentadbiran MADANI, pendekatan terhadap Sabah berubah kepada sesuatu yang lebih matang: mengembalikan hak negeri, memperbaiki infrastruktur asas serta memastikan suara rakyat di pedalaman dan bandar sama-sama didengari.

Walaupun negara berdepan pelbagai cabaran ekonomi global, komitmen kepada Sabah bukan sahaja tidak berkurang malah terus meningkat seolah-olah mengakui bahawa kemajuan negeri ini adalah sebahagian daripada maruah negara.

Buktinya, perbelanjaan Persekutuan untuk Sabah meningkat secara konsisten: RM12.9 bilion pada 2022, RM13.9 bilion pada 2023, RM14 bilion pada 2024, RM17.3 bilion pada 2025 dan RM17.5 bilion pada 2026.

Kenaikan berperingkat ini bukan semata-mata angka tetapi cerminan kepada usaha mengatasi masalah sebenar rakyat daripada akses air bersih hingga peluang digital yang lebih adil.

Banyak keluarga di pedalaman masih berkongsi cerita tentang air paip yang kadang kala terhenti atau voltan elektrik yang tidak stabil.

Dengan ‘pelaburan’ ini, mereka tidak lagi mahu berharap tetapi mereka mahu melihat perubahan yang boleh disentuh.

Dalam sektor tenaga, Kerajaan MADANI tetap menyediakan RM1.2 bilion walaupun kuasa kawal selia elektrik telah diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan Sabah. Komitmen ini membantu menstabilkan bekalan di kawasan yang selama ini bergelut dengan gangguan.

Penduduk di kampung kecil turut mendapat manfaat melalui pemasangan panel solar hibrid, sesuatu yang selama ini dianggap mustahil bagi kawasan terpencil.

Pembiayaan RM765 juta untuk Projek Talian Penghantaran Southern Link pula memberi harapan kepada banyak komuniti luar bandar yang sudah lama menunggu rangkaian tenaga yang lebih kukuh.

Isu air bersih yang menjadi antara keluhan paling konsisten rakyat Sabah turut diberi tumpuan serius melalui peruntukan RM1 bilion pada tahun 2024.

Peruntukan besar ini membawa sinar baharu kepada keperluan asas yang begitu fundamental dalam kehidupan rakyat.

Sabah juga tidak ditinggalkan dalam gelombang transformasi digital negara. Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI sepanjang 3,190 kilometer bernilai RM2 bilion akan memberi ketersambungan lebih stabil kepada penduduk Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau.

Sebelum ini ramai pelajar di luar bandar terpaksa berjalan ke lokasi tertentu semata-mata untuk mendapatkan capaian internet lebih baik dan projek ini adalah langkah melepaskan mereka daripada sekatan itu.

Dari segi infrastruktur darat pula, Kerajaan MADANI menghidupkan semula projek Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM13.9 bilion.

Ramai rakyat Sabah sudah letih menunggu projek ini disempurnakan, lebih-lebih lagi mereka yang bergantung kepada laluan utama untuk perniagaan dan pengangkutan keluarga.

Tidak ketinggalan ialah kemudahan lain seperti Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II serta jalan baharu Kalabakan-Simanggaris membuka lapangan kemajuan ekonomi yang lebih luas, termasuk hubungan terus dengan Indonesia.

Dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pentadbiran MADANI mencatat antara kemajuan terbesar dalam sejarah hubungan Persekutuan–Sabah. Sebanyak 9 daripada 13 tuntutan berjaya diselesaikan dan ia merupakan langkah yang memberi makna mendalam kepada rakyat Sabah.

Penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada negeri, pengiktirafan JKR, JPS dan JBA Sabah sebagai Jabatan Teknik serta kuasa melulus projek sehingga RM50 juta memberi Sabah autonomi yang lebih kukuh.

Pindaan Akta 53 yang membolehkan Sabah dan Sarawak mempunyai wakil tetap dalam LHDN pula mengembalikan suara mereka dalam keputusan yang menyentuh hasil negara.

Ini bukan lagi cerita tentang menuntut hak, tetapi tentang hak yang akhirnya diiktiraf. Keseluruhan usaha Kerajaan MADANI ini adalah untuk menjadikan harapan rakyat Sabah sebagai realiti.

Pendekatan ini tidak lagi melihat Sabah sebagai wilayah yang memerlukan bantuan tetapi sebagai rakan strategik yang mempunyai hak, suara dan masa depan.

Dengan peruntukan besar, pembaharuan hak negeri dan projek yang kembali bergerak, Sabah kini berada dalam laluan pembangunan yang lebih bermatlamat.

Masa depan rakyat Sabah sedang dibina bukan hanya di atas angka peruntukan, tetapi melalui pengiktirafan, penghormatan dan tindakan nyata.






Source link

OR

Scroll to Top