“SUDAH Islam, buat apa hendak mohon sijil halal lagi?”
Itu antara alasan yang sering didengari apabila topik pensijilan halal dibangkitkan.
Hakikatnya, sijil halal bukan hanya memenuhi tuntutan agama, tetapi juga menjadi penanda aras keyakinan pengguna terhadap sesuatu produk.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Malaysia Halal Analysis Centre (MyHac), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Mohd Amri Abdullah menjelaskan, antara perkara utama yang perlu ada dalam diri pengusaha adalah kemahuan untuk mendapatkan pensijilan halal.
USTAZ MOHD AMRI -Foto: FACEBOOK JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR
Tanpa kesungguhan itu, katanya, segala bimbingan dan kemudahan yang disediakan tidak akan memberi hasil.
Beliau berkata, pihak industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana perlu mengubah sikap yang sering menganggap sijil halal hanya penting untuk tujuan eksport atau produk bukan Muslim.
“Industri dan pengusaha mesti berubah dulu kerana sijil halal memberi manfaat dan keuntungan yang cukup besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Seminar Kesedaran Halal bertajuk ‘Pensijilan Halal: Anda buntu, kami bantu’ ketika program Halal Open Day di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

SEBAHAGIAN pengunjung yang mengunjungi reruai dalam program Halal Open Day 2025 anjuran JAIS di Shah Alam, Selangor baru-baru ini. -Foto: FACEBOOK JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR
Ustaz Mohd Amri menjelaskan, proses permohonan halal kini lebih mudah kerana dilakukan sepenuhnya secara dalam talian.
“Pastikan ada dokumen penting seperti lesen perniagaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, lesen pihak berkuasa tempatan dan bukti pembelian bahan mentah halal disediakan sebelum memohon.
“Kalau buat (perniagaan) di tepi rumah dan tiada lesen PBT, boleh dapatkan surat akuan daripada agensi seperti Majlis Amanah Rakyat, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan atau koperasi yang menaungi perniagaan itu,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi panel yang juga Ketua Audit Dalaman, Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal QSR Brands (M) Holdings Berhad, Mohd Hafiz Mansor mengingatkan pengusaha agar berurusan terus dengan pihak berautoriti bagi mengelakkan ditipu oleh individu tidak bertanggungjawab.

MOHD HAFIZ -Foto: FACEBOOK JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR
“Saya syorkan pergi terus jumpa dengan pihak autoriti untuk dapat penerangan langkah demi langkah. Kadang-kadang yang jumpa tu orang tengah, bukan pihak sebenar,” ujarnya.
Program Halal Open Day anjuran JAIS membabitkan 250 usahawan, agensi pembimbing dan institut pengajian tinggi dan pengsaha kantin sekolah itu bertujuan memastikan eksekutif halal syarikat dan masyarakat memahami peranan serta tanggungjawab dalam memelihara konsep halalan toyyiban yang memberi manfaat kepada semua pihak.






