farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia di landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran 60,000 bakat berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata sasaran itu merangkumi bidang reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju, penyelidikan dan pembangunan serta fabrikasi wafer.
Katanya, sehingga kini, seramai 13,679 jurutera dan tenaga mahir teknikal berjaya dilatih, diperakui kemahiran, serta diserap ke dalam pelbagai segmen industri semikonduktor.
“Antara universiti dan institusi yang terbabit dalam usaha ini ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta pusat kemahiran seperti Malaysian Institute of Microelectronic Systems Berhad (MIMOS) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC).
“Sejak pelancaran Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) pada Mei 2024, pembangunan bakat berkemahiran tinggi dikenal pasti sebagai teras kritikal dalam memastikan kelestarian dan daya saing jangka panjang industri semikonduktor negara,” ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ir. Khairil Nizam Khirudin (PN- Jerantut) berhubung jumlah jurutera berkemahiran tinggi yang dilatih dan diserap ke industri semikonduktor sejak pelancaran Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) serta tahap kerjasama pembuat cip multinasional dengan universiti awam bagi memenuhi keperluan tenaga kerja industri tersebut.
Chin Tong, berkata di bawah Belanjawan 2026, beberapa insentif pembangunan bakat bagi sektor semikonduktor turut diumumkan, antaranya, tiga juta peluang latihan, dengan tumpuan kepada sektor teknologi tinggi termasuk semikonduktor oleh HRD Corp.
“Program K-Youth dan latihan TVET oleh Khazanah bagi menyediakan latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah dalam sektor strategik seperti semikonduktor, dengan peruntukan RM200 juta.
“Selain itu, Program Flagship IC Design juga akan diteruskan untuk melatih 2,500 tenaga bertaraf global dalam bidang reka bentuk litar bersepadu dengan nilai RM340 juta,” katanya.
Selain itu, katanya beberapa syarikat multinasional utama dalam bidang reka bentuk cip, fabrikasi, dan ujian, sudah aktif menjalin kolaborasi strategik dengan universiti awam.
“Kerjasama ini membabitkan pembangunan kurikulum berasaskan industri, penyediaan makmal berteknologi tinggi, program sandaran latihan industri dan usaha bersama dalam penyelidikan gunaan yang berfokus kepada teknologi semikonduktor generasi baharu.
“Pendekatan ini bukan sahaja memastikan kelestarian rantaian tenaga kerja mahir, malah meningkatkan keupayaan Malaysia untuk menjadi hab serantau dalam pembangunan modal insan semikonduktor bertaraf global,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






