Kapten Pasukan Nepal, Kiran Kumar Limbu pada sidang media praperlawanan kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Isnin. Foto Bernama
SKUAD Harimau Malaya yang ‘tempang’ tanpa kehadiran tujuh pemain warisan masih mempunyai kualiti tersendiri untuk memburu kemenangan ke atas Nepal pada perlawanan kelima pusingan kelayakan Piala Asia 2027 esok.
Kapten pasukan Nepal, Kiran Kumar Limbu berkata, kualiti itu hadir dalam kalangan pemain tempatan sedia ada, yang pastinya akan memberikan saingan sengit sama seperti pasukan itu tewas 0-2 pada perlawanan pembukaan Kumpulan F, Mac lepas.
“Sebelum ini mereka mempunyai tujuh pemain warisan dan banyak pemain yang hebat tetapi kini tanpa mereka. Saya fikir pemain tempatan mempunyai kualiti. Pasukan yang kuat dan mereka bermain dalam liga yang berkualiti di sini.
“Pada akhirnya kami bersedia dan tidak akan mengulangi kesilapan sama,” katanya pada sidang media praperlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2027 di sini pada Isnin.
Beliau yang bermain di posisi penjaga gol berkata, aksi persahabatan menentang Bangladesh baru-baru ini membantu ketua jurulatih baharu Hari Khadka dalam membentuk kesebelasan terbaik bertemu Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malaysia beraksi pada perlawanan kelima pusingan kelayakan itu tanpa sebarang aksi persahabatan dan hanya menjalani kem latihan pusat di dalam negara.
Skuad negara kekal mendahului Kumpulan F dengan mengumpul 12 mata, manakala pencabar terdekat Vietnam di tangga kedua dengan sembilan mata.
Laos berada di tempat ketiga (tiga mata) dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata selepas tewas keempat-empat perlawanan. – Bernama
Ringkasan AI
- Harimau Malaya tempang tanpa tujuh pemain warisan tetapi masih berkualiti untuk lawan Nepal
- Kapten Nepal percaya pemain tempatan Malaysia mempunyai kualiti meskipun tanpa pemain warisan
- Nepal tidak akan mengulangi kesilapan lalu dan bersedia untuk perlawanan
- Perlawanan persahabatan dengan Bangladesh membantu Nepal membentuk kesebelasan terbaik
- Malaysia mendahului Kumpulan F pusingan kelayakan Piala Asia 2027, Nepal di tangga terakhir tanpa mata






