“Dalam Dunia Ini Memang Tak Lari Daripada Orang Berhasad Dengki” – Siti Sairah Kunci Mulut Ambil, Langkah Berjaga-Jaga

“Dalam Dunia Ini Memang Tak Lari Daripada Orang Berhasad Dengki” – Siti Sairah Kunci Mulut Ambil, Langkah Berjaga-Jaga


Penyanyi, Siti Sairah memilih untuk tidak memanjangkan isu membabitkan hantaran Instagram (IG) miliknya baru-baru ini yang didakwa berkisar tentang hasad dengki.

Adik kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu berkata, apa yang dikongsikan hanyalah luahan hati yang sudah lama dipendam, tanpa niat menyindir mana-mana individu.

“Saya tiada apa nak jelaskan. Apa yang saya tulis itu cuma luahan hati. Biar saja ia berlalu.

“Ditujukan kepada siapa? Biarlah rahsia,” katanya.

Menurut Sairah, perasaan negatif seperti hasad dengki adalah lumrah dalam kehidupan manusia, namun dia sentiasa berusaha menjauhkan diri daripada sifat tersebut serta mendidik anak-anak untuk tidak menanam prasangka buruk.

“Dalam dunia ini memang tak lari daripada orang yang ada perasaan hasad dengki. Tapi saya rasa saya tak ada pun berprasangka buruk terhadap sesiapa.

“Saya ajar anak-anak supaya sentiasa berfikiran baik dan positif. Saya sendiri pun cuba untuk kekal begitu,” katanya.

Sairah berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran single pertama anaknya, Amad Dayyan berjudul Mendewasa di Gombak, Selangor, pada Selasa.

Dalam masa sama, Sairah menitip pesan kepada netizen agar menjauhkan diri daripada sifat iri hati kerana ia tidak memberi sebarang manfaat.

“Saya pun tak pernah negatif terhadap orang. Jadi, saya minta yang di luar sana kalau ada perasaan sebegitu, cepat-cepat beringat bahawa tidak perlu ikut perasaan jahat.

“Kerana perasaan sebegitu tidak berikan apa-apa manfaat,” katanya.

Sebagai ibu, Sairah menegaskan keluarganya kekal menjadi keutamaan dan dia tidak teragak-agak untuk tampil mempertahankan anak-anak jika diperlukan.

“Memang saya akan pertahankan keluarga dan anak-anak walau apa pun yang terjadi. Saya ini jenis yang sentiasa positif dengan orang.

“Tak pernah pun terlintas nak fikir negatif. Tapi bila berlaku perkara begini, saya perlu lebih berhati-hati,” katanya.

Sebelum ini, Sairah mencuri tumpuan apabila memberikan peringatan kepada mereka yang didakwa mempunyai niat buruk terhadap dirinya dan keluarga.

“Hentikan niat dan perbuatan buruk itu, Allah tahu. Allah masih melindungi aib awak dari orang lain tahu,” tulisnya.



Source link

OR

Scroll to Top