Nazirul nasihat Razman henti sandiwara isu penutupan MAPS

Nazirul nasihat Razman henti sandiwara isu penutupan MAPS


IPOH – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak menasihatkan ketua pembangkang, Razman Zakaria supaya berhenti bersandiwara dalam isu penutupan Taman Tema Animasi Studio (MAPS) di Bandar Meru Raya.

Ketuanya, Nazirul Jamaluddin berkata, isu penutupan MAPS bukan perkara baru, malah sering kali dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak termasuk ketika Razman menjadi Exco kerajaan negeri sebanyak dua kali.

Menurutnya, tindakan ketua pembangkang itu yang mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan negeri menggunakan wang rakyat untuk membangunkan MAPS sedangkan taman tema itu tidak menggunakan dana kerajaan.

“Sebagai bekas Exco, beliau (Razman) sepatutnya lebih mengetahui bahawa MAPS adalah di bawah pengurusan syarikat PCB Development Sdn Bhd (PCBD) dan pelaburan mereka ditentukan oleh keputusan ahli-ahli lembaga pengarah (BOD) sendiri.

“Malah, tentulah sangat janggal jika beliau tidak tahu bahawa Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) memang mempunyai kepentingan saham dalam PCBD, tetapi tidak menggunakan dana awam dari kerajaan untuk menjalankan operasi perniagaan mereka.

“Maka saya sangat bersimpati kerana begitu terdesak berpolitik sehingga sanggup berlakon ‘tidak tahu apa-apa’ sedangkan sebagai mantan Exco, beliau sepatutnya amat memahami pucuk pangkal penutupan MAPS adalah akibat masalah kewangan PCBD,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, Nazirul menasihatkan Razman supaya beliau kembali ke alam realiti dengan sedikit keberanian untuk bercakap hal kebenaran dan berhenti bercakap hal kepura-puraan.

Menerusi satu laporan portal berita semalam, Razman menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad supaya menjawab isu perobohan bangunan MAPS supaya diketahui rakyat, bukannya berlepas tangan kononnya tidak masuk campur.

Katanya, hal tersebut berhak diketahui umum kerana ianya melibatkan banyak wang rakyat yang dilaburkan untuk MAPS berkenaan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top