mhafis@mediaprima.com.my
Sungai Buloh: Lelaki yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik, menyebabkan dia tercampak ke dalam longkang di Lorong Melati, Kuang hari ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada 4.03 petang dengan mangsa dilapor dari tempat kerjanya menghala ke Tasik Biru Kundang.
“Sampai di Lorong Melati, Kuang mangsa disyaki hilang kawalan, lalu melanggar tiang elektrik di sebelah kiri jalan dan dia tercampak ke dalam longkang. Mangsa parah di bahagian muka dan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Azie Azyanti Mohd Rafae di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan IPD Sungai Buloh di talian 03-61561222.
Beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan di jalan raya ketika musim hujan dan cuaca buruk.
© New Straits Times Press (M) Bhd






