Tuaran: Pengundi di Sabah wajar menolak calon yang dilihat mempunyai kecenderungan tinggi melompat parti atau beralih sokongan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia penting bagi menjamin kestabilan politik dan pentadbiran negeri, sekali gus mengelak amalan serta budaya melompat parti berterusan di Sabah.
“Di Sabah ini banyak parti politik dan saya rasa pengundi kena pilih parti politik mewakili mereka, yang bukan mempunyai potensi untuk lompat dan tidak menggunakan atau menawarkan diri (bertanding) hanya kerana jawatan.
“Kita mesti ingat, tanggungjawab utama setiap calon yang menawarkan diri ialah berkhidmat untuk rakyat. Itulah sebabnya akta antilompat parti diwujudkan selepas PRU (Pilihan Raya Umum) ke-15 supaya parti boleh bertanding dan rakyat mengundi atas calon yang menawarkan diri,” katanya.
Beliau ditemui media selepas menghadiri Program Jelajah ‘Justice on Wheels’ di Perkarangan Pasar Daerah Tuaran di sini, hari ini.
Azalina berkata, antara perlu dijadikan keutamaan oleh rakyat ialah memastikan khidmat cemerlang wakil rakyat khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Dia kena tahu selepas diundi, esok wakil rakyat yang menang sudah kena bekerja. Kalau lebih memilih wakil rakyat yang ada potensi nak melompat, atau wakil rakyat itu masa pilihan raya dia baru muncul, susahlah.
“Saya ingatkan pada rakyat sama ada yang menetap di sini atau akan balik mengundi, kita mesti ingat ADUN yang kita undi ini untuk (selesaikan) isu negeri, bila isu Pusat ialah Ahli Parlimen.
“Keutamaan kena memilih wakil rakyat yang tak lari, tak lompat, kalau tidak penat kita pergi mengundi, undi A dapat B, undi B dapat C,” katanya.
Dalam pada itu, Azalina berkata, tindakan melabelkan slogan Barisan Nasional (BN), ‘Kita Bikin Balik Sabah’ sebagai manifestasi kegagalan BN mentadbir Sabah sebelum ini, adalah sesuatu yang tidak adil.
“Ini bukan maknanya, malah banyak parti politik yang hidup dan keluar daripada perut BN.
“Ini politik, walaupun ia hanya mahu menjustifikasikan kewujudan parti politik baharu.
“Tanggapan itu dibuat pihak ketiga, musuh politik. Hari ini sudah Khamis, esok Jumaat, tinggal satu hari lagi (tempoh berkempen), lebih penting kepada pengundi yang mahu memilih,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






