Kandungan penipuan di platform media sosial dilaporkan terus meningkat, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna dalam talian.
Walaupun platform sosial menggunakan algoritma pengesanan automatik dan kecerdasan buatan, masih terdapat jurang besar dalam sistem pengesanan yang membolehkan penjenayah siber melepasi tapisan.
Koordinator Impak Penyelidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Prof. Madya Dr. Farrah Diana Saiful Bahry berkata, penjenayah siber sering menggunakan taktik yang menyerupai kandungan biasa.
“Ia termasuk visual profesional, bahasa meyakinkan, dan teknik penyamaran akaun, sekali gus menyukarkan penandaan automatik. Jumlah kandungan yang terlalu banyak juga membuatkan proses moderasi manual tidak mencukupi,” katanya kepada Oh My Media.
Dalam konteks pengiklanan berbayar, Dr. Farrah menjelaskan bahawa sistem semakan automatik hanya bertindak apabila tahap kepastian penipuan sangat tinggi, menyebabkan iklan palsu tetap diluluskan.

Sementara itu, beliau turut memetik data antarabangsa di mana platform memaparkan sehingga 15 bilion iklan berisiko tinggi sehari dan menjana sehingga USD16 bilion daripada iklan scam pada 2024.
“Di Malaysia pula, lebih 18,000 kes e-dagang palsu dilaporkan dengan kerugian RM248 juta, menunjukkan kelemahan moderasi iklan digital sebagai faktor utama,” ujarnya.
[Sumber: Reuters (2024), Berita Harian (2025), RTM/KKD (2025), CyberSecurity Malaysia (2024–2025), Meta Transparency Data Malaysia]
Dr. Farrah berkata, pengguna tetap mudah terperangkap walaupun kesedaran tentang penipuan dalam talian semakin meningkat.
“Faktor psikologi seperti FOMO (fear of missing out), kepercayaan terhadap selebriti atau pengaruh palsu, dan persepsi tawaran ‘terlalu mendesak untuk ditolak’ mendorong tindakan impulsif.”
“Tawaran pendapatan mudah, diskaun produk, pelaburan palsu, serta scammer berpura-pura dipercayai antara modus operandi yang paling berkesan memanipulasi emosi dan akal pengguna,” katanya lagi.

Beliau berkongsi lagi bahawa beberapa tanda amaran konsisten yang boleh membantu mengenal pasti kandungan atau akaun penipuan termasuk mesej tiba-tiba tanpa diminta, permintaan tindakan segera, pautan luar atau URL mencurigakan, permintaan maklumat sensitif, serta akaun baharu dengan interaksi minimum.
“Walaupun terdapat kempen kesedaran, ramai pengguna masih gagal mengesan scam moden akibat overconfidence atau kelonggaran literasi siber,” kongsi Dr. Farrah.
Tambahnya, kumpulan paling berisiko di Malaysia ialah golongan muda cenderung terperangkap dengan pelaburan pantas, produk murah, dan tawaran pendapatan sampingan, manakala warga emas lebih mudah menjadi mangsa phishing, pelaburan palsu dan ‘love scam’.





