BATU KAWAN: Kehadiran reruai KedaiFGV yang dibawakan oleh FGV Holdings Berhad (FGV) sempena Karnival Jom Heboh (KJH) Pulau Pinang 2025, baru-baru ini, nyata membawa keriangan tersendiri buat pengunjung khususnya warga utara.
Berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan bermula 7 hingga 9 November lalu, reruai berkenaan bukan sahaja menjadi lokasi tumpuan untuk mendapatkan barangan keperluan dapur, malah menawarkan pengalaman gaya hidup yang unik menerusi pelbagai aktiviti interaktif.
Tumpuan utama pastinya terarah kepada tawaran ‘harga runtuh’ apabila FGV menampilkan pakej promosi barangan terpilih serendah RM5, satu inisiatif yang disifatkan pengunjung sebagai peluang penjimatan yang sukar dilepaskan.
Selain berbelanja pada harga istimewa, reruai KedaiFGV turut menawarkan cabutan bertuah bagi memeriahkan lagi suasana. Bagi setiap pembelian bernilai RM50 ke atas, pelanggan berpeluang memenangi hadiah lumayan termasuk hadiah utama berupa TV Pintar 55 inci.
Santuni cita rasa pengguna
Memahami keperluan pengunjung yang meluangkan masa berjam-jam di tapak karnival, FGV turut menampilkan kelainan menerusi ‘layanan istimewa’ mengikut cuaca.
Ketika cuaca panas terik, pengunjung disajikan dengan minuman kordial SAJI sejuk secara percuma, manakala teh tarik panas berasaskan susu SAJI dihidangkan ketika suasana dingin atau hujan, sekali gus memastikan keselesaan pengunjung terjamin.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Fakhrunniam Othman, penyertaan FGV dalam KJH Pulau Pinang 2025 bersama Media Prima adalah manifestasi komitmen syarikat untuk mendekati dan menghargai sokongan pengguna setia.
Melalui reruai KedaiFGV di Karnival Jom Heboh Pulau Pinang 2025, FGV mempromosikan produk keluaran syarikat terus kepada pengguna, memastikan akses mudah kepada pelbagai pilihan produk masakan berkualiti pada harga istimewa. – FOTO FGV
Beliau berkata, pengguna adalah penyumbang strategik kepada kelangsungan jenama FGV untuk kekal bersaing, terutamanya jenama SAJI yang telah bertahan selama 25 tahun dan GULA PRAI yang sudah bertapak lebih 60 tahun di Malaysia.
“Karnival ini memberi ruang untuk FGV menyantuni warga utara, mendengar maklum balas pengguna, serta menawarkan diskaun dan hadiah istimewa.
“Ia bukan sekadar ruang jualan tetapi platform untuk mempamerkan peranan besar FGV dalam ekonomi negara dan agenda keterjaminan makanan melalui kepelbagaian produk makanan dan bukan makanan termasuk baja, benih anak pokok dan buah-buahan segar,” katanya.
Variasi produk dari ladang ke dapur

KedaiFGV di KJH Pulau Pinang 2025 bukan sahaja membawa produk masakan FGV kepada pengunjung, malah turut menawarkan produk-produk pertanian dan hasil segar keluaran FGV. – FOTO FGV
Sepanjang tiga hari berkampung di Batu Kawan, KedaiFGV mempamerkan rangkaian produk lengkap daripada segmen masakan hingga pertanian.
Antara yang menjadi rebutan termasuk minyak masak, beras wangi, ketupat mini, santan, serta produk segar seperti pisang, nangka, limau bali dan madu kelulut.
Inisiatif seperti ini dilihat memperkukuh kedudukan FGV sebagai syarikat pengeluar produk makanan dan agri perniagaan utama negara yang dekat di hati rakyat, seiring dengan jenama isi rumah lain di bawah naungannya seperti SERI PELANGI, PREMEO dan ADELA.
Orang ramai juga berpeluang menyertai sesi pengujian rasa (food sampling) dan permainan ‘Happy Hour’ menjadikan kunjungan ke KedaiFGV satu pengalaman yang menyeluruh untuk seisi keluarga.
Bagi yang tidak berpeluang mengunjungi KedaiFGV di Karnival Jom Heboh Pulau Pinang 2025, anda boleh nikmati pengalaman beli-belah KedaiFGV secara online di KedaiFGV.com.
© New Straits Times Press (M) Bhd





