Aaron enggan ulang kesilapan di Jakarta

Aaron enggan ulang kesilapan di Jakarta


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengajaran pahit yang dilalui di Terbuka Singapura tidak mahu dibazirkan begitu sahaja oleh beregu muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai yang kini bertekad tampil lebih matang menjelang Terbuka Indonesia 2026 di Jakarta bermula esok hingga 7 Jun ini.

Bagi Aaron, kekalahan yang dialami minggu lalu membuka matanya mengenai kepentingan mengekalkan fokus sepanjang perlawanan, terutama ketika berada dalam kedudukan selesa.

Menurutnya, kegagalan mengekalkan rentak permainan selepas mendahului menjadi antara faktor utama yang membolehkan lawan kembali menguasai perlawanan.

“Saya rasa dalam perlawanan saya kurang fokus pada set kedua ketika kami sedang mendahului.

“Disebabkan itu lawan mengambil kesempatan dan berjaya memenangi set kedua,” katanya.

Aaron berkata, keadaan menjadi lebih sukar pada set penentuan apabila mereka sedikit perlahan dan gagal menandingi intensiti permainan lawan.

“Saya rasa pada perlawanan sebelum ini agak perlahan sedikit.Dari situ lawan mula mendapat mata dan membuka jurang,” katanya.

Selain itu, dia juga turut mengakui aspek kawalan emosi perlu diberikan perhatian menjelang saingan di Jakarta, terutama apabila perlawanan memasuki fasa genting.

“Saya rasa apabila mata rapat, saya perlu lebih tenangkan diri. Saya mungkin kurang sabar sedikit dan itu yang perlu diperbaiki selepas ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top