saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu bergandingan selama mungkin di pentas antarabangsa sekali gus mengikut jejak langkah idola mereka dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.
Jelas Wooi Yik, dia sedar dirinya serta Aaron mempunyai potensi besar untuk lebih menyinar di pentas antarabangsa seperti pernah dilalui Ahsan-Hendra yang hampir meraih segala pencapaian antarabangsa.
“Sudah tentu saya dan Aaron sudah mengadakan perbincangan mengenai perkara ini dan kami mahu meneruskan gandingan ini selama yang mungkin.
“Kami sedar yang kami mempunyai potensi untuk melangkah lebih jauh tetapi kami masih belum mencapai kemuncak kejayaan.
“Kami mahu memenangi segala kejohanan utama sepertimana Ahsan-Hendra dan mahu menjadi seperti mereka. Kami sudah meraih pingat di kejohanan utama tetapi tidak kesemuanya emas dan itu yang kami mahu capai,” kata Wooi Yik pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Aaron-Wooi Yik menyumbang pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menewaskan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 dalam perlawanan penentuan gangsa.
Untuk rekod, ia gangsa kedua dimenangi pasangan nombor tiga dunia itu selepas turut meraih gangsa ketika Tokyo 2020 selain muncul juara dunia pada 2022.
Ahsan, 36, dan Hendra, 39, yang mendapat gelaran ‘The Daddies’, antara beregu Indonesia paling berjaya apabila muncul juara dunia sebanyak tiga kali selain memenangi beberapa kejohanan utama lain.
Sementara itu Aaron berkata, dia serta Wooi Yik perlu mengekalkan hubungan yang baik bagi mengelakkan salah faham yang akan mengganggu prestasi mereka.
“Apa yang penting adalah komunikasi bagi mengelak salah faham. Dua tahun lalu, kami berdepan banyak salah faham tetapi sekarang, ia semakin baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd