Aaron-Wooi Yik mara ke suku akhir, Wei Chong-Kai Wun tarik diri

Aaron-Wooi Yik mara ke suku akhir, Wei Chong-Kai Wun tarik diri


PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak perlu memerah keringat untuk mara ke suku akhir, selepas rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menarik diri daripada aksi pusingan ketiga pada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India, hari ini.

Menurut informasi yang dikongsi oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi media sosial, Facebook, masalah kesihatan Kai Wun telah mendorong pasangan No. 11 dunia itu memberikan kemenangan percuma kepada Aaron-Wooi Yik.

“Beregu No. 4 dunia, Aaron-Wooi Yik mara ke peringkat lapan terbaik selepas diberi kemenangan percuma berikutan penarikan diri Kai Wun kerana tidak sihat,” kata kenyataan tersebut di sini, hari ini.

Kemaraan Aaron-Wooi Yik ke suku akhir, esok, bakal menemukan mereka dengan beregu muda China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi.

Gandingan berusia 20 tahun itu melakar kejutan ke atas pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard yang menghuni ranking No. 13 dunia 21-14, 16-21, 21-16 dalam masa 58 minit

Ke Yuan-Xiang Yi yang berada di ranking No. 26 dunia pernah bertemu Aaron-Wooi Yik sebanyak dua kali dan kedua-dua perlawanan itu berpihak kepada beregu negara.

Kali terakhir juara dunia edisi 2022 itu menewaskan beregu muda China tersebut adalah pada suku akhir Malaysia Masters, Mei lalu.

Selain Aaron-Wooi Yik, Malaysia juga mempunyai satu lagi wakil dalam sektor beregu lelaki iaitu gandingan No. 6 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang akan turun beraksi menentang pasangan No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top