Aaron (kanan) dan Wooi Yik menjuarai Korea Masters selepas menewaskan pasangan tuan rumah di Jeolla pada Ahad. Foto Agensi
BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akhirnya memecah kebuntuan untuk meraih gelaran pertama musim ini dalam aksi penuh dramatik setelah muncul juara Kejohanan Badminton Korea Masters di Jeolla sebentar tadi.
Kejayaan tersebut bagaimanapun bukan diraih dengan mudah apabila mereka yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan berstatus Super 300 itu ditentang sengit pasangan nombor 73 dunia, Jin Yong-Kim Won-ho yang mengheret permainan sehingga ke set penentuan.
Dalam aksi di Iksan Gymnasium, Iksan City tersebut, pasangan negara yang menghuni ranking keenam dunia tidak diberi laluan mudah oleh gandingan tuan rumah apabila tewas 21-23 pada set pertama.
Aaron-Wooi Yik kemudian mengubah momentum permainan dan ia ternyata menjadi apabila memenangi set kedua 21-19.
Menjengah aksi set penentuan, Jin Yong dan Won-ho terus menekan Aaron-Wooi Yik, namun pengalaman menjadi pemisah apabila juara dunia 2022 itu menoktahkan kemenangan 21-14 dalam tempoh 66 minit permainan.
Kejayaan tersebut membolehkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu meraih kemenangan pertama hasil pertemuan sulung mereka.
Kejuaraan berkenaan juga menceriakan Aaron-Wooi Yik membawa pulang AS$16,590 (RM72,701) dan mengutip 7,000 mata Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Mereka yang dalam misi memburu tempat ke Jelajah Dunia Akhir (WTF) di China bulan depan pasti lega dengan kejayaan tersebut dalam usaha membaiki kedudukan dari tempat ke-13 dengan 56,090 mata.
Menerusi tambahan 7,000 mata, mereka berpeluang melonjak ke tangga ke-10 dengan 63,090 mata menyamai mata pasangan Indonesia, Sabar Karyaman-Muhammad Reza Pahlevi Isfahani di kedudukan ke sembilan.
Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei ketika ini menghuni ranking ketiga (77,400 mata) WTF, manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula di tempat ke tujuh (67,840 mata) dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri nombor 12 (57,900 mata).
Sebagai rekod hanya dua wakil dari setiap negara layak ke WTF dalam kelompok lapan terbaik.