Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa Kerajaan MADANI tidak menjaga kepentingan masyarakat Bumiputera, khususnya orang Melayu.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah bagi mempertahankan kepentingan golongan berkenaan, termasuk mewujudkan tanah rizab Melayu baharu di Kuala Lumpur yang disifatkan sebagai pertama kali berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Anwar berkata, tiada pewujudan tanah rizab Melayu baharu di Kuala Lumpur sejak merdeka, malah tanah sedia ada semakin berkurangan akibat penjualan.
“Sejak merdeka tahun 1957, tidak ada tanah rizab Melayu baharu di Kuala Lumpur. Yang ada semua yang dijual.
“(Apabila) saya ambil alih tahun 2022, (kemudian) 2023, kita rampas tanah Bandar Malaysia 480 ekar.
“Jadi milik negara China dan syarikat (swasta) saya rampas sebab dia langgar peraturan.
“Dan bila saya rampas, saya ambil alih untuk dijaga oleh Petronas dan Khazanah dan dalam kawasan itu, 50 ekar (20 hektar) saya buat rizab (tanah Melayu), tanah yang paling berharga di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garison Kem Syed Sirajuddin, Gemas, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Azhan Md Othman.
Artikel lain: FELDA rugi RM10 bilion, PM Anwar dedah salah urus, campur tangan politik jadi punca utama
Mengulas lanjut, Anwar berkata cadangan mewujudkan tanah rizab Melayu itu turut dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri selepas beliau memaklumkan perkara tersebut kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
“Saya bawa kepada Kabinet. Sebelum itu saya maklum kepada Anthony Loke. Saya kata, ‘This is my proposal’.
“Dia cuma tanya mengapa. Saya kata, sebab tanah Melayu di Kuala Lumpur itu makin mengecil. ‘It’s my duty to give the clear signal’. Dia kata okey,” katanya lagi.

Anwar berkata, tindakan itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera terus dipelihara.
Beliau turut menyarankan pihak yang sering membangkitkan isu berkaitan kepentingan Melayu supaya menilai usaha yang telah dilaksanakan kerajaan, termasuk pewujudan tanah rizab Melayu baharu berkenaan.






