puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Usahawan dan pelakon, Abby Abadi berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaikinya dilanggar sebuah kereta dari belakang ketika dalam perjalanan pulang dari Singapura ke ibu negara, awal pagi tadi.
Abby atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan, 49, menerusi hantaran dikongsikan di Threads berkata, insiden berkenaan berlaku sewaktu dia sedang mencari tempat untuk menunaikan solat Subuh dalam keadaan persekitaran yang masih gelap.
“On the way (dalam perjalanan) balik KL (Kuala Lumpur) dari Singapura, leka mencari tempat nak solat Subuh, tiba-tiba ada yang langgar dari belakang. Memang terkejut sangat-sangat. Mula-mula ingat tayar pecah.
“Berhenti tepi, ada abang motosikal datang beritahu ada kereta lain langgar. Tetapi serius tak sedar sebab dalam gelap,” tulisnya dengan memuat naik foto keadaan kenderaannya yang remuk di bahagian belakang.
Menurut Abby, dia meluahkan rasa kesal dengan tindakan individu berkenaan yang terus beredar selepas hanya memeriksa kenderaannya secara ala kadar.
Katanya, individu itu sekadar memintanya untuk membuat tuntutan insurans disebabkan insiden berkenaan.
“Pendekkan cerita, pemandu kereta yang langgar itu datang. Tengok itu ini, lepas itu dia cakap ‘claim’ insurans…nak buat macam mana lagi. Lepas itu dia (kata) ‘okaylah ya kak’ dan dia beredar.
“Kereta saya tak boleh jalan, terkapai-kapai tengah lebuh raya ini tunggu bantuan PLUS. Semudah itu saja ya kalau dah langgar orang?” luahnya yang terkilan dengan sikap tidak bertanggungjawab pemandu terbabit.
Sementara itu, menerusi hantarannya di Instagram Story, Abby berkongsi pemandu yang melanggar kenderaannya itu mengakui mengantuk ketika kejadian berlaku.
Bagaimanapun, dalam hantaran sama, Abby memaklumkan dia sempat menyimpan maklumat penting seperti nombor pendaftaran kenderaan serta nombor telefon pemandu terbabit untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd






