PETALING JAYA: Kekalahan 2-0 kepada Thailand dalam aksi Kumpulan B Piala ASEAN 2026 bukan alasan untuk Tan Cheng Hoe berputus asa, sebaliknya pengendali sementara Harimau Malaya itu kekal optimis skuad kendaliannya mampu bangkit dan meneruskan perjuangan memburu tempat ke separuh akhir.
Walaupun terpaksa pulang dengan tangan kosong, Cheng Hoe melihat banyak perkara positif yang dipamerkan anak buahnya sepanjang perlawanan dan percaya pasukan negara masih berada di landasan yang betul menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan.
Malaysia bermula dengan baik, namun Thailand terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti Yotsakon Burapha selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan kekasaran pemain negara di dalam kotak penalti.
Harimau Malaya hampir menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama menerusi kapten pasukan, Paulo Josue, namun percubaannya sedikit tersasar ketika penjaga gol Thailand, Kampon Phatomakkakul sudah tertewas.
Thailand kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-56 apabila Teerasak Poeiphimai bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum tenang menewaskan penjaga gol negara, Azri Ghani untuk gol kedua pasukan pelawat.
Meskipun keputusan tidak memihak kepada Malaysia, Cheng Hoe enggan terlalu memikirkan kekalahan itu dan sebaliknya mahu pemain segera mengalihkan fokus kepada perlawanan seterusnya yang lebih penting.
“Sudah tentu sebagai seorang jurulatih, saya mahu mengekalkan rekod yang baik. Saya fikir Thailand kadangkala dalam bola sepak, kamu akan disajikan memori tertentu, termasuk moment kejutan.
“Sebagai seorang jurulatih, saya masih mempunyai pandangan positif terhadap pasukan saya. Pada masa sama, saya tetap percaya kepada pemain muda ini. Jika kamu memberikan mereka peluang, mereka akan beraksi dengan baik,” ujarnya.
Bekas pengendali Kedah dan Selangor itu turut menegaskan bahawa pemain muda memerlukan kepercayaan serta sokongan berterusan bagi membantu mereka berkembang menjadi tonggak utama negara pada masa depan.
“Anda perlu memberikan mereka keyakinan bahawa mereka mampu melakukan yang terbaik. Harapnya mereka dapat meneruskan prestasi untuk perlawanan seterusnya. Ia sangat baik untuk pasukan dan penyokong yang hadir memberikan sokongan.
“Saya selalu katakan bola sepak adalah mengenai perkara yang sama,” jelasnya.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia kekal dengan enam mata daripada tiga perlawanan, manakala Thailand menduduki tangga teratas Kumpulan B dengan jumlah mata yang sama tetapi memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Situasi tersebut menjadikan aksi menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu ini sebagai perlawanan paling penting buat Harimau Malaya dalam menentukan nasib mereka sama ada mara atau tersingkir di peringkat kumpulan.-UTUSAN






