Chelsea tandatangani pemain serba boleh Argentina

Chelsea tandatangani pemain serba boleh Argentina

Chelsea tandatangani pemain serba boleh Argentina


London: Chelsea mengesahkan menandatangani pemain antarabangsa Argentina, Valentin Barco daripada kelab Ligue 1, Strasbourg dengan kontrak selama tujuh tahun, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu, semalam.

Butiran kewangan perpindahan itu tidak didedahkan.

Pemain tengah berusia 22 tahun itu merupakan sebahagian daripada skuad Argentina yang tewas 0-1 kepada Sepanyol dalam final Piala Dunia bulan lalu. Dia menghabiskan musim lalu bersama Strasbourg selepas kelab Perancis itu menjadikan perpindahannya secara pinjaman daripada Brighton & Hove Albion sebagai perpindahan tetap.

“Chelsea FC dengan sukacitanya mengesahkan pembelian pemain antarabangsa Argentina, Valentin Barco, daripada RC Strasbourg,” menurut kenyataan kelab itu.

“Pemain tengah serba boleh itu menandatangani kontrak sehingga 2033 dan akan menyertai pengurus, Xabi Alonso, serta rakan sepasukannya pada baki kem latihan pramusim.”

Barco menjaringkan tiga gol dan mencipta 11 bantuan gol dalam 58 penampilan bersama Strasbourg dalam semua pertandingan.

Pemain Argentina itu, yang mengumpul lima penampilan antarabangsa serta menjaringkan dua gol untuk negaranya, memulakan karier di Boca Juniors sebelum menyertai Brighton pada 2024.

Chelsea terus memperkukuhkan skuad menjelang musim baharu dengan membawa masuk pemain tengah kreatif Morgan Rogers dari Aston Villa, pertahanan Maxence Lacroix dari Crystal Palace, Marco Palestra dari Atalanta serta penyerang Danny Welbeck dari Brighton.

Pasukan kendalian Xabi Alonso, yang menamatkan saingan di tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris musim lalu, akan memulakan kempen baharu dengan aksi menentang Fulham pada 24 Ogos.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top