Abdul Hadi sanggah label PAS parti mullah! Dakwa propaganda sesat Barat cemar imej Islam

Abdul Hadi sanggah label PAS parti mullah! Dakwa propaganda sesat Barat cemar imej Islam


Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak dakwaan yang mengaitkan parti itu dengan politik ‘mullah’, sebaliknya menyifatkan label berkenaan sebagai tidak tepat serta berpunca daripada salah faham terhadap ilmu Islam.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa istilah ‘mullah’ telah dimanipulasi oleh pihak Barat melalui agenda Islamofobia sehingga membentuk persepsi negatif terhadap politik Islam dan gerakan Islam di peringkat global.

“Para ilmuwan Barat sengaja memomokkan Islam dengan perkataan yang dikiranya memberi gambaran yang negatif, khususnya dalam agenda Islamofobia yang dilariskan pada zaman kini.
“Malangnya, terdapat dalam kalangan umat Islam yang buta terhadap al-Quran terikut sama mencanangkan propaganda musuh terhadap Islam, antaranya jenama mullah dan teokrasi,” katanya menerusi catatan Minda Presiden PAS.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan sebuah portal berita yang memetik sumber dalaman BERSATU berhubung isu kerjasama PAS-BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) yang didakwa telah diselesaikan secara konsensus dalam mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan berkenaan.

Sumber berkenaan turut mendakwa PN ditadbir berasaskan semangat kerjasama antara parti komponen dan bukan ditentukan oleh mana-mana individu secara mutlak.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata istilah ‘mullah’ berasal daripada perkataan Arab ‘mawla’ yang membawa maksud tuan atau pelindung, dan dalam sesetengah konteks merujuk kepada ilmuwan agama yang dihormati.

Bagaimanapun, beliau mendakwa istilah itu sering digunakan secara sinis oleh Barat bagi menggambarkan pemimpin Islam sebagai setara dengan paderi dalam Kristian, selain mengaitkan sistem pemerintahan Islam sebagai teokrasi yang bersifat negatif.

“Di Barat, istilah `mullah’ sering digunakan dalam konteks yang diterjemahkan sebagai pendeta Islam atau pemimpin undang-undang dan doktrin Islam yang disamakan dengan istilah paderi atau pendeta dalam agama Kristian.
“Antara ciri-ciri utama sistem teokrasi mengikut istilah Barat ialah konotasi politik dan media yang sering dikaitkan secara eksklusif dengan teokrasi, sistem pemerintahan di mana pentadbiran negara dijalankan berdasarkan undang-undang atau hukum agama,” katanya.

Beliau turut mendakwa Iran sering dijadikan contoh oleh Barat bagi menggambarkan negara Islam diperintah secara mutlak oleh golongan agamawan, sedangkan realitinya berbeza dengan naratif yang dibawa.

Tambahnya, pengkaji Barat gagal memahami struktur sebenar institusi keilmuan Islam kerana menggunakan pendekatan yang dianggap berat sebelah dalam menilai sistem pemerintahan Islam.

“Penggunaan istilah ini oleh sarjana Barat (orientalis) sering dikritik oleh ahli akademik Islam. Pengkaji dalam wacana orientalisme menekankan bahawa Barat sering menggambarkan Timur (termasuk Islam) melalui lensa bias bagi tujuan hegemoni dan politik.
“Dari sudut pandang Islam, pengkategorian seperti ini gagal menangkap kepelbagaian hierarki sebenar institusi keilmuan Islam,” katanya.

Tegas beliau, Islam tidak meletakkan pemimpin agama sebagai ‘tuhan politik’, sebaliknya berasaskan konsep syura, keadilan serta panduan wahyu dan kebijaksanaan manusia.

“Islam berkonsepkan negara berperlembagaan yang tidak bertuhankan pemimpin bagi mentadbir urusan negara dalam segala aspek politik, ekonomi dan semua urusan bermasyarakat, dengan petunjuk Allah dan kebijaksanaan manusia yang diberikan akal.
“Maka, istilah perkataan mullah mengikut teori Barat bukan daripada fiqh siyasi (ilmu politik Islam),” katanya.

Dalam nada tegas, beliau turut mengingatkan bahawa sebarang kenyataan mengenai Islam tanpa ilmu dianggap sebagai kesilapan besar yang boleh menjejaskan kefahaman terhadap agama.

“Membuat kenyataan tanpa ilmu Islam yang sebenar adalah satu pembohongan terhadap Islam serta menyalahi negara Islam yang dijanjikan oleh Allah SWT.
“Allah mengharamkan percakapan mengenai Islam tanpa ilmu,” tegasnya.

Sumber: FB Abdul Hadi Awang





Source link

OR

Scroll to Top