PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dijangka menjadi medan persaingan terbuka apabila semua parti utama memilih untuk bergerak dengan haluan masing-masing.
Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, gabungan seperti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), selain parti-parti negeri dan parti baharu, dijangka akan membawa strategi dan agenda sendiri dalam PRU16.
Malah beliau berkata, beliau sejak awal tidak percaya bahawa UMNO akan memasuki PRU16 sekadar menjadi ‘pemain kedua’ kepada PH.
“UMNO tidak wujud untuk jadi aksesori politik kepada orang lain. UMNO wujud untuk menguasai kerajaan,” katanya di media sosial.
Menurut Rafizi, kerjasama antara parti dalam kerajaan ketika ini hanyalah satu susunan sementara untuk membentuk kerajaan dan menstabilkan negara dan bukannya satu ‘perkahwinan politik sampai mati’.
Dalam pada itu, Rafizi turut mengkritik pendekatan ‘rangkul semua’ kerana berpendapat strategi tersebut bersandarkan andaian bahawa semua parti politik akan terus mengikut skrip yang ditentukan di Putrajaya.
“Sedangkan setiap parti ada kepentingan, cita-cita dan survival masing-masing. Kalau UMNO mahu ikut arahan PH, baik masuk PKR saja,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kedudukan politik semasa, Rafizi menjelaskan bahawa penyertaan UMNO dalam kerajaan bersama PH selepas PRU15 adalah demi kelangsungan (survival) politik parti itu selepas mengalami kekalahan besar. – UTUSAN






