fahmy.azril@bh.com.my
Kuala Lumpur: Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya bersama parti itu, menggantikan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar.
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, Amirudin akan menjalankan tugas bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PKR yang berlangsung semalam, antara lain bersetuju dengan beberapa lagi penyusunan strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya akan datang.
“Nurul Izzah akan terus memainkan peranan strategik dengan memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan kapasiti jentera dan gerak kerja parti ke arah yang lebih kukuh dan tersusun,” katanya.
Dalam mesyuarat sama, Fuziah berkata, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin dilantik sebagai Pengarah Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya (war room).
Beliau berkata, Azman akan dibantu bekas calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi.
“Ia bagi memperkukuh penyelarasan strategi, operasi lapangan dan pemantauan gerak kerja pilihan raya,” katanya.
Menyentuh perubahan beberapa jawatan dalam PKR, beliau berkata, ia sebahagian daripada penyusunan semula strategik parti bagi memastikan gerak kerja pilihan raya parti terus diperkemas, diselaraskan dan digerakkan secara lebih menyeluruh di semua peringkat.
“Penyusunan ini juga kesinambungan kepada asas gerak kerja dibina sebelum ini, termasuk pengukuhan struktur pilihan raya, penyelarasan antara negeri dan cabang, serta peningkatan penggunaan data, sistem dan teknologi dalam operasi lapangan melalui pengenalan sistem pilihan raya TERAS,” katanya.
Mengulas lanjut keputusan itu, beliau berkata, penekanan dibuat adalah sebahagian daripada pelaburan parti terhadap setiap anggota akar umbi, supaya kekuatan PKR terus dibina secara menyeluruh, berterusan dan berakar di semua peringkat.
Beliau akui PKR sedar akan kekuatan parti yang tidak hanya terletak pada pimpinan di peringkat pusat, tetapi mencakupi ribuan ahli di lapangan yang terus bekerja, mendengar, menyantuni dan membawa suara rakyat setiap hari.
“Dalam semangat yang sama, PKR merakamkan penghargaan kepada semua anggota baharu yang telah menyertai parti, dengan jumlah keanggotaan baharu dari April ke Mei (lalu) mencecah seramai 5,936 orang.
“PKR kini bergerak ke fasa seterusnya dengan tekad untuk merapatkan saf parti, memperkukuh keupayaan akar umbi dan memastikan seluruh jentera bergerak sebagai satu pasukan yang fokus, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran pilihan raya akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






