Adib mahu pikat Pan Gon, bakal pengganti Faisal

Adib mahu pikat Pan Gon, bakal pengganti Faisal


KUALA LUMPUR – Bintang dalam pembikinan, Muhammad Adib Abdul Ra’op mahu membuktikan kepada pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon bahawa dia layak beraksi untuk skuad kebangsaan.

Pemain Penang FC kini diramal sebagai calon pengganti Faisal Halim di posisi sayap kiri.

Namun Adib, 25, mengakui perlu bekerja lebih keras untuk berada dalam pasukan selepas mengakui rata-rata pemain yang dipanggil untuk aksi menentang Kyrgyzstan dan Taiwan dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 6 dan 11 Jun ini cukup berpengalaman.

Katanya, tahap permainan tonggak senior dalam pasukan kebangsaan sememangnya di tahap tertinggi dan Adib berazam untuk memanfaatkan tempoh latihan pusat yang ada untuk menyamai kemampuan pemain lain.

“Banyak pemain senior dan semuanya pemain berpengalaman. Kat sini (latihan pusat Harimau Malaya) saya rasa saya dapat belajar lagi banyak, dan saya kena berusaha lebih keras untuk sama level dengan dia orang.

“Sebab level dia orang lebih tinggi daripada saya, tapi saya rasa itu tak menjatuhkan semangat saya untuk bermain.

“Saya rasa ini pembakar semangat untuk saya sama ‘level’ dengan dia orang,” katanya dalam temubual video di Facebook  Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini hari ini.

Muhammad Adib Abdul Ra’op. Foto FB FAM.

Media sebelum ini melaporkan Pan-gon dikatakan sudah menemui pengganti sesuai di posisi sayap kiri di mana Adib dilihat permata baharu yang bakal menyerlah bersama skuad negara.

Jurulatih dari Korea Selatan itu sendiri mengakui mengikuti rapat perkembangan Adib sejak semusim lalu di mana baginya, pemain itu mempunyai empat elemen iaitu kepantasan, kekuatan fizikal, agresif dan daya ketahanan tinggi.

Situasi itu sekaligus menjadikan Adib calon pengganti Faisal yang sebelum ini terpaksa disisihkan ekoran kecederaan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.

“Saya kena tunjuk dan membuktikan kepada jurulatih Pan-gon yang saya layak bermain atau saya perlu lebih daripada pemain-pemain lain.

“Semuanya terletak pada diri saya dulu dan yang lain saya harap jurulatih dapat beri saya peluang untuk bermain,” kata Adib yang merupakan kelahiran Bagan Datuk, Perak. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top