September 8, 2024

Adidas gugur Bella Hadid daripada iklan selepas kritikan Israel

Adidas gugur Bella Hadid daripada iklan selepas kritikan Israel


LONDON – Adidas telah menggugurkan supermodel Bella Hadid daripada kempen pengiklanan untuk keluaran terbaharu kasut retro berinspirasi Sukan Olimpik Munich 1972 yang menyaksikan pembunuhan 11 atlet Israel.

Israel telah mengkritik pilihan Hadid dan menuduh model keturunan Palestin itu memusuhi Israel.

Negara dan rakyat zionis turut menolak Hadid kerana ahli sukan Israel telah dibunuh oleh penyerang Palestin pada sukan Olimpik tersebut.

Adidas kemudiannya memohon maaf dan berkata ia akan “menyemak semula” promosi kasut latihan SL72 yang mengunakan Hadid sebagai model.

Syarikat itu mengesahkan kepada AFP bahawa Hadid telah disingkirkan daripada kempen itu.

Dalam satu kenyataan yang diberikan kepada agensi berita itu, Adidas berkata, ia akan “menyemak baki kempen” berkuat kuasa serta-merta.

“Kami sedar bahawa hubungan telah dibuat dengan peristiwa sejarah yang tragis — walaupun ini tidak disengajakan — dan kami memohon maaf atas sebarang kekecewaan atau kesusahan yang disebabkan.”

Syarikat pakaian sukan Jerman telah memilih Hadid untuk mempromosikan kasut latihan SL72, yang pertama kali dilancarkan bertepatan dengan Sukan Olimpik 1972.

Ia merujuk kepada serangan pada temasya 1972, yang berlaku apabila ahli kumpulan Black September Palestin memecah masuk ke perkampungan Olimpik. Selain atlet Israel, seorang pegawai polis Jerman turut terbunuh.

Pemilihan Hadid yang kini merupakan rakyat Amerika Syarikat dan memakai kasut itu mencetuskan kritikan, termasuk di akaun rasmi Israel di X.

“Teka siapa wajah kempen mereka? Bella Hadid, model separuh Palestin,” satu catatan dibaca pada Khamis.

Hadid, yang bapanya adalah hartawan Palestin Mohamed Anwar Hadid, lantang menetang pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel ke atas penduduk Gaza.

Dalam catatan Instagram pada Mei, Hadid berkata, dia “berasa hancur dengan pembunuhan rakyat Palestin dan kekurangan empati kerajaan di seluruh dunia”.

Bulan lalu, dia dan kakaknya, Gigi yang juga supermodel menderma AS$1 juta (£785,000) untuk menyokong usaha membantu Palestin.

Israel sehingga ini telah membunuh lebih 38,900 penduduk di Gaza sejak Oktober tahun lalu.- Agensi



Source link

OR

Scroll to Top