“Cerita kononnya saya ‘dibela’ seseorang memang tak betul”.
Demikian respons Naib Juara Dewi Remaja 2019 yang juga pelakon Adriana Ghafar ketika diminta mengulas dakwaan kononnya ‘kehilangannya’ sebelum ini adalah disebabkan sibuk menjalin hubungan dengan orang kenamaan.
Kata pemilik nama penuh, Nur Nafissa Adriana Abdul Ghafar, 28, tuduhan tersebut tidak berasas dek kerana dia menyepi disebabkan menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya.
“Saya tak dijaga oleh sesiapa. Cerita kononnya saya ‘dibela’ seseorang memang tak betul. Hakikatnya saya dijaga mak dan ayah. Mereka penat membesarkan saya, jadi kredit sepatutnya diberikan kepada mereka.
“Saya tak boleh bercakap panjang mengenai perkara itu kerana bagi saya, sejak dulu sampai sekarang saya berdiri dengan usaha sendiri.
“Bagi saya, itu cuma gosip. Saya hilang sebab sambung belajar,” katanya.
Dalam pada itu, Adriana mengakui godaan boleh berlaku dalam mana-mana bidang dan tidak tertumpu pada industri hiburan sahaja.
Tegasnya, latar belakang yang dimiliki menjadi perisai untuknya agar tidak didekati oleh individu berstatus kenamaan mahupun suami orang.
“Godaan ini tak semestinya dalam bidang seni saja, bidang profesional pun ada. Tapi dengan latar belakang saya (dalam bidang undang-undang), orang mungkin tak berani sesuka hati nak ‘main-main’. Insya-Allah godaan itu dijauhkan sedikit.
“Saya pun takkan layan suami orang. Kalau boleh kita jauhi lelaki berstatus suami orang. Saya bukan elak tapi tolak terus. Saya memang tidak melayan perkara seperti itu.
“Saya nak dikenali kerana bakat, bukan gosip. Saya nak jaga maruah diri dan nama baik bidang guaman juga,” jelasnya.

Adriana berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersamanya yang diadakan di hotel JW Marriott, Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, Adriana kini kembali aktif dalam industri hiburan selepas hampir enam tahun memperlahankan kerjaya seninya.
Namun, dia kini kembali sibuk kerana terlibat dalam beberapa projek drama dan telefilem.
Selain kerjaya seni, Adriana turut aktif dalam usaha advokasi wanita melalui kerjasama bersama seperti Women of Will, mencerminkan komitmennya terhadap isu pemerkasaan wanita.
Kemunculan semula Adriana bukan sekadar kepulangan seorang selebriti, tetapi juga simbol perjalanan seorang wanita yang melalui pelbagai pengalaman sebelum kembali ke dunia seni dengan perspektif dan kematangan baharu.






