ADUN Bintong dipecat PAS pertahan tindakan tarik sokongan

ADUN Bintong dipecat PAS pertahan tindakan tarik sokongan


Kuala Lumpur: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Fakhrul Anwar Ismail, menegaskan tindakan beliau bersama dua lagi ADUN PAS di Perlis adalah tepat walaupun mungkin dilihat salah oleh pihak yang berbeza pandangan.

Jelas beliau, tindakan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli melemahkan PAS di negeri berkenaan dan menegaskan perubahan kepimpinan di peringkat negeri adalah sesuatu yang wajib dilakukan.

“Tindakan kami ini, betul pada pertimbangan kami dan salah pada kelompok yang berbeza pandangan.

“Yang pasti tindakan MB (Mohd Shukri), memang telah melemahkan PAS di Perlis. Wajib ditukarkan,” katanya kepada BH, hari ini.

Fakhrul Anwar berkata, sebarang perincian lanjut berkaitan tindakan Mohd Shukri itu hanya akan didedahkan selepas proses pelantikan Menteri Besar baharu selesai.

“Tunggu selesai lantik Menteri Besar baharu, kemudian kita senaraikan,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Bagaimanapun, Fakhrul Anwar berkata, beliau akan menggunakan ruang yang ada untuk membuat rayuan sambil menegaskan bahawa PAS tetap di hatinya.

Semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengumumkan tiga ADUN PAS di Perlis, iaitu Fakhrul Anwar, Saad Seman (ADUN Chuping) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji), dihentikan serta-merta keahlian mereka.

Keputusan itu dibuat hasil Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berdasarkan peruntukan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Isu itu timbul susulan dakwaan beberapa ADUN daripada PAS dan BERSATU menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Jumaat lalu, yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Mohd Shukri.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top