May 24, 2024

AEON Bank mulakan operasi digital Islam pada suku kedua 2024


KUALA LUMPUR – Aeon Bank (M) Bhd, satu daripada lima pemegang lesen perbankan digital di Malaysia, bersedia untuk memulakan operasi dan melancarkan aplikasi perbankannya pada akhir suku kedua 2024, kata Ketua Pegawai Eksekutif Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz.

Beliau berkata bank digital Islam pertama di Malaysia itu menyasar untuk menarik terutama pengguna celik teknologi dan Generasi Z, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kini kurang mendapat perkhidmatan kerana saiznya.

Bank itu akan memulakan operasi dengan menawarkan akaun simpanan dan transaksi berkaitan untuk individu.

“Kami akan (seterusnya) melancarkan produk berdaya maju yang minimum. Apabila kami semakin mencapai kemajuan, produk tambahan dan pilihan pembiayaan pula akan menyusul,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual hari ini.

Beliau berkata Aeon Bank telah melakukan ujian beta dalam kalangan pekerja untuk memastikan aplikasinya mesra pengguna dan boleh diterima oleh pengguna daripada semua lapisan masyarakat.

“Pendigitalan adalah jalan menuju kemajuan atau penyelesaian kepada masalah tertentu. Lebih ramai orang telah belajar menggunakan perbankan dalam talian (dan) kita perlu terus mendorongnya, dan pada masa yang sama, mengurangkan transaksi tunai yang sukar,” katanya.

Malaysia telah mencapai kemajuan yang baik dalam aspek ini, dan usaha itu perlu dimajukan lagi, katanya.

Manfaatkan jurang pendanaan RM90 bilion

Bagi segmen perniagaan pula, Raja Teh Maimunah berkata bahagian itu akan dilancarkan pada 2025.

Aeon Bank menyasar untuk memanfaatkan jurang pendanaan RM90 bilion di antara syarikat besar dengan PMKS, katanya.

“Ini boleh jadi perniagaan seperti kedai TikTok atau Instagram. Itulah segmen sasaran kami, dan sejajar dengan peranan kami dalam memberi perkhidmatan kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan, yang merupakan mandat kami.

“Perniagaan itu tidak boleh mengakses pendanaan melalui bank tradisional atau kaedah peminjaman kerana penilaian kredit perlu dilakukan secara berbeza,” katanya.

Beliau berkata oleh itu sumber data yang berbeza perlu diteliti dan hal itu hanya boleh dilakukan oleh platform digital.

“Jadi, menjelang tahun depan, kami akan menangani jurang ini,” katanya.

Raja Teh Maimunah berkata pihaknya sedang giat melaksanakan ciri Apple Pay, yang merupakan sistem pembayaran digital oleh Apple Inc, di samping merancang untuk melancarkan kad debit pada akhir tahun ini.

Aeon Bank dimiliki bersama Aeon Financial Service Ltd dan Aeon Credit Service (M) Bhd, kedua-dua anak syarikat kumpulan runcit terbesar Jepun, Aeon Group.

Aeon Group Malaysia, sebahagian daripada Aeon Group, telah menjadi jenama isi rumah selama 40 tahun, memberikan akses kewangan dan runcit harian kepada pengguna.

Selain Aeon Bank, sebuah konsortium yang diterajui KAF Investment Bank Sdn Bhd turut memperoleh lesen bank digital Islam daripada Bank Negara Malaysia.

Tiga lagi yang memenangi lesen perbankan digital ialah konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Bhd, konsortium yang diketuai GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd, dan konsortium yang diketuai oleh Sea Ltd dan YTL Digital Capital Sdn Bhd. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top