June 18, 2024

Pahang perkukuh jaringan sektor ekonomi bersama China – MB


KUANTAN – Pahang perkukuh hubungan dengan negara China melalui lawatan kerja ke negara itu ke beberapa lokasi berpotensi bagi meningkatkan hubungan dua hala dalam sektor ekonomi.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lawatan selama lima hari tersebut sekali gus membuka ruang dalam usaha menarik pelaburan China ke negeri ini selain meluaskan jaringan sedia ada.

Menurutnya, lawatan kunjung hormat ke atas Setiausaha Jawatankuasa Guangxi dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Guangxi, China, Liu Ning di Nanning, itu turut disertai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Liew Chin Tong pada hari ini.

”Pertemuan ini berlangsung dalam suasana yang penuh muhibah dan saya percaya menerusi lawatan kerja ini hubungan pelaburan dan perdagangan antara Pahang dan China akan lebih kukuh pada masa akan datang. Insya-Allah.

”Dalam pertemuan itu, saya juga turut menyentuh mengenai kerjasama strategik Malaysia – China menerusi Taman Perindustrian Kuantan Malaysia – China (MCKIP) di Gebeng, Kuantan yang telah mencapai jumlah pelaburan melebihi RM30 bilion dalam tempoh 10 tahun penubuhannya.

“Sebelum itu hari pertama lawatan ke Ibu Pejabat China Communication & Construction Company 3rd Harbour Engineering Co. Ltd di Shanghai yang juga merupakan kontraktor bagi pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Delegasi Kerajaan Negeri Pahang menhadiri taklimat pencapaian industri melibatkan Taman Industri Berkembar iaitu Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) yang berlangsung di Qinzhou, China hari ini

Selain itu rombongannya juga menghadiri taklimat pencapaian industri melibatkan Taman Industri Berkembar iaitu Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) yang berlangsung di Qinzhou, China.

Jelasnya, kedua-dua taman perindustrian ini dibangunkan berlandaskan konsep ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ di mana MCKIP merupakan taman perindustrian pertama yang dibangunkan secara bersama antara Malaysia dan China.

Mereka kemudiannya telah melawat kompleks kilang Syarikat Guangxi Shenglong Metallurgical Co., Ltd. yang merupakan syarikat induk kepada Alliance Steel Sdn Bhd yang mempunyai kilang besi dan keluli di MCKIP, Kuantan.

Wan Rosdy berharap langkah kerjasama itu akan memberi banyak faedah kepada rakyat tempatan terutamanya dalam mewujudkan peluang pekerjaan selain meningkatkan ekonomi setempat.

Lawatan kerja bermula 20  hingga 25 April itu turut diwakili Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Pahang, Datuk Mohammad Nizar Mohammad Najib dan  Exco Hal Ehwal Pengguna Dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang bersama Pegawai Pelaburan Pahang, Datuk Kamarul’Arifin Ahmad @ Abdul Rahman.

Terdahulu rombongan berkesempatan mengunjungi Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di sana. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top