June 14, 2024

AEON BIG, pembekal sahkan produk disangka alas kaki adalah sejadah mini


KUALA LUMPUR – Produk disangka alas kaki tertera gambar Kaabah yang dirampas Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah pasar raya di Batu Pahat, Johor pada Selasa lepas, merupakan sejadah mini.

Pasar raya AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) dan syarikat pembekal produk itu A&R Fashion Collection (A&R) dalam kenyataan bersama hari ini menjelaskan bahawa kekeliruan timbul berikutan barangan tersebut dilabel secara tidak tepat sebagai alas pintu.

Menurut kenyataan itu sebaik menerima maklumat, deskripsi produk tersebut telah dibetulkan serta-merta dalam sistem pengurusan barangan AEON BiG sebagai sejadah.

“Kedua-dua pihak pengurusan AEON BiG dan A&R berharap bahawa kenyataan bersama ini akan menjelaskan sebarang keraguan mengenai isu ini.

“Kami berharap agar spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat kita yang berbilang kaum akan dihentikan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu A&R merupakan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) milik 100 peratus bumiputera dan Islam yang membekalkan pakaian Muslimah patuh syariah seperti jubah, tudung, kurta, samping, songkok serta produk lain termasuk sejadah, permaidani dan tikar.

Syarikat itu ditubuhkan pada 2007 dan telah menjadi pembekal AEON BiG sejak 2015, selain A&R juga merupakan pembekal kepada peruncit lain serta mengendalikan kedai mereka sendiri.

AEON BiG dan A&R juga akan terus bekerjasama dengan JAINJ dan mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut yang diperlukan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan JAINJ merampas 11 alas kaki tertera gambar Kaabah yang dijual di sebuah pasar raya di Batu Pahat, Selasa lepas, susulan aduan orang awam.

Beliau berkata pihak pengurusan pasar raya terbabit juga sudah dipanggil bagi memberi keterangan selain diberi amaran supaya lebih berhati-hati terhadap produk jualan supaya tidak menyentuh sensitiviti masyarakat. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top