Semakin ramai wanita membuktikan mereka mampu menjana pendapatan sendiri melalui program affiliate. Platform digital ini memberi peluang besar untuk golongan wanita mengambil alih kewangan keluarga, sambil mengurus masa dengan lebih fleksibel.
Usaha ini bukan hanya untuk suri rumah atau pekerja sambilan, malah ia juga boleh membantu golongan asnaf yang mahu keluar daripada belenggu kemiskinan. Dengan bimbingan yang betul, ramai yang boleh berjaya untuk mencapai pendapatan stabil melalui jualan dalam talian.
Menyedari perkara terbabit, Usanita Sdn Bhd melancarkan Program Usanita: Affiliate Wanita Berjaya, sebuah inisiatif keusahawanan digital untuk wanita asnaf di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Program ini dilaksanakan bersama Maybank Islamic dan menawarkan peluang menjana pendapatan dari rumah melalui platform seperti TikTok Shop dan Shopee tanpa modal permulaan.
Program ini memberi tumpuan kepada suri rumah, wanita tidak bekerja dan anak perempuan asnaf.
Peserta hanya memerlukan telefon pintar dan internet untuk memulakan pendapatan secara atas talian. Usanita menyasarkan setiap peserta mampu memperoleh sekurang-kurangnya RM300 sebulan serta mengumpul simpanan pertama sebanyak RM1,000 sepanjang tempoh penyertaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Datuk Adzliana Prof. Datuk Seri Dr Hasan berkata, program ini diwujudkan untuk membuka lebih banyak ruang pendapatan kepada golongan wanita asnaf.
“Kami sangat bersyukur dapat memperkenalkan program ini. Fokus kami adalah membantu suri rumah dan anak-anak perempuan asnaf menjana pendapatan dari rumah melalui platform digital,” katanya.
Menurutnya, pengalaman Usanita membimbing usahawan B40 dan M40 sebelum ini banyak membantu dalam menambah baik modul pembelajaran agar lebih praktikal dan memberi manfaat menyeluruh kepada peserta.
Pelancaran program disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha memperkasa wanita melalui teknologi dan latihan digital.

Menurut Noraini, program ini tepat dengan keperluan masa kini dan berpotensi membuka pintu baharu kepada wanita asnaf.
“Program ini bukti kerjasama yang kuat antara Usanita dan Maybank Islamic. Matlamatnya untuk membantu wanita menjadi lebih stabil, berdikari dan mampu bersaing,” katanya.
Menurutnya, ekonomi digital turut memberi peluang fleksibel kepada wanita, terutama suri rumah yang ingin membantu menambah pendapatan keluarga dari rumah.
“Dengan teknologi hari ini, wanita boleh terlibat dalam ekonomi digital tanpa perlu bekerja secara tradisional,” jelasnya.
Program ini akan bermula awal tahun depan dan menjadi satu lagi usaha penting Usanita dalam misi meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan akses wanita kepada peluang ekonomi digital yang lebih inklusif.






