SUKMA lahirkan kuasa baharu olahraga


sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Landskap olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) semakin berubah apabila persaingan tidak lagi tertumpu kepada negeri-negeri tertentu, sebaliknya semakin ramai atlet muda muncul mencabar menerusi peningkatan prestasi dan rekod baharu.

Jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda positif terhadap pembangunan olahraga negara selepas menyaksikan saingan SUKMA Selangor 2026 berlangsung pada tahap lebih tinggi berbanding edisi terdahulu.

Menurutnya, kemunculan atlet baha’ru dari pelbagai negeri selain peningkatan kualiti catatan masa menunjukkan program bakat dan pelapis yang dilaksanakan berada di landasan tepat.

“Secara keseluruhan kita dapat lihat daripada hari pertama lagi, atlet-atlet muda yang muncul sama ada yang baru ataupun yang memang berada dalam program kebangsaan menunjukkan persaingan yang sihat.

“Rekod SUKMA juga banyak yang pecah kali ini dengan kualiti lebih tinggi berbanding sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.

Sepanjang lima hari saingan olahraga berlangsung, sembilan rekod baharu SUKMA berjaya dicipta sekali gus membuktikan peningkatan tahap kompetitif atlet muda yang beraksi di temasya berkenaan.

Antara pencapaian mencuri perhatian hadir menerusi pelari pecut Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang memperbaharui rekod 200 meter (m) lelaki dengan catatan 20.85 saat (s), selain membantu kuartet Johor mencipta rekod baharu 4x100m dengan masa 39.46s.

Turut mencipta rekod baharu ialah atlet rejam lembing Johor, Chai Kai Le yang menghasilkan balingan 64.44 meter (m), kuartet 4x400m campuran Johor (3:31.45s), pelari 110m berpagar Terengganu, Muhammad Armin Zahril Abdul Latif (13.66s), atlet lontar peluru wanita Perlis Farhana Izurein Faizalamizul (14.22m), atlet 20,000m wanita Melaka Tan Li Ren (2:59:41.45s), pelari 10,000m wanita Wilayah Persekutuan Chen Jie Yi (39:47.28s) serta kuartet 4x400m lelaki Pulau Pinang (3:11.

84s).Manshahar berkata, walaupun tiada rekod kebangsaan berjaya dipecahkan, beberapa pencapaian yang dilakar atlet muda kali ini cukup membanggakan kerana menghampiri tahap terbaik negara.

Beliau kagum dengan persembahan kuartet 4x400m lelaki Pulau Pinang dibarisi Y Denishwar, K Venket Prabu, Muhamad Farhan Mohd Isrulnizam dan Muhammad Sayyid Amin Roslan yang mencatat 3:11.84s, iaitu hampir dengan rekod kebangsaan 3:06.64s.

“4x400m lelaki dengan catatan 3 minit 11 saat itu satu pencapaian yang bagus jika dibandingkan dengan rekod kebangsaan 3 minit 06 saat.

“Begitu juga 4x100m lelaki Johor yang mencatat 39.46s berbanding rekod kebangsaan 39.03s. Walaupun mereka atlet SUKMA dan bukan dalam skuad kebangsaan, pencapaian itu menunjukkan kualiti yang tinggi,” katanya.

Manshahar berkata, peningkatan turut dapat dilihat menerusi acara padang apabila negeri yang sebelum ini kurang menyerlah mula memberi saingan sengit kepada pasukan tradisi.

Katanya, kemunculan atlet Perlis menerusi Muhammad Firdaus Abdul Rahman dalam acara lempar cakera lelaki dan Muhammad Dzulfikri Abu Dzarda dalam tukul besi lelaki, selain atlet Pahang, Muhammad Imran Abdullah yang menyerlah dalam lompat jauh dan lompat kijang lelaki, membuktikan persaingan olahraga kini semakin terbuka.

“Dulu kita lihat negeri-negeri tertentu sering melahirkan atlet balingan, tetapi sekarang negeri lain mula mencabar. Ada satu dua atlet yang muncul di luar jangkaan dan ini petanda yang baik untuk SUKMA akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Manshahar menyifatkan Danish sebagai atlet lelaki paling menyerlah pada SUKMA Selangor 2026 selepas mempamerkan aksi konsisten dengan meraih tiga pingat emas menerusi acara 100m, 200m dan 4x100m.

Bagi kategori wanita pula, atlet Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira turut mencuri perhatian selepas mengumpul tiga emas menerusi acara 100m, 200m dan 4x400m.

Menurut Manshahar, atlet muda yang muncul pada SUKMA kali ini perlu terus diberikan pendedahan kerana sasaran utama adalah melahirkan barisan yang mampu memberi impak kepada olahraga negara terutama pada Sukan SEA 2027 dan 2029.

“Persaingan yang sihat ini penting supaya atlet dalam program kebangsaan tidak terlalu selesa. Kita harapkan dalam masa satu atau dua tahun lagi, atlet-atlet ini mampu memberikan impak besar kepada negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top