PETALING JAYA: Oppstar Berhad (Oppstar) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Oppstar Technology Sdn. Bhd. menerima surat tawaran daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi peruntukan token akses Arm Compute Subsystem (CSS).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Oppstar berkata, surat tawaran bertarikh 3 Ogos 2026 itu memperincikan kelulusan bersyarat bagi peruntukan token akses berkenaan.
Katanya, tawaran itu adalah di bawah program kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dan Arm Limited bagi aplikasi telekomunikasi serta pusat data.
“Setakat tarikh pengumuman ini, syarikat sedang meneliti terma, syarat dan parameter operasi tawaran tersebut,” katanya.
Oppstar berkata, perkembangan selanjutnya akan diumumkan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad selepas dokumentasi berkaitan dimuktamadkan dan ditandatangani.
Sebarang perkembangan material berkaitan perkara itu juga akan diumumkan kepada Bursa Malaysia mengikut keperluan. – UTUSAN
