June 14, 2024

Afidavit Wan Rosdy mesej paling kuat daripada UMNO


KUALA LUMPUR – Afidavit yang difailkan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani tahanan rumah merupakan mesej paling kuat daripada UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, affidavit yang difaikan itu membuktikan bahawa UMNO tidak membuat permintaan yang tidak wujud.

Mohd. Puad mengesa Kerajaan Perpaduan untuk menghormati titah yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Justeru kerajaan PMX perlu komited melaksanakan titah adendum itu. UMNO bukan minta perkara yang tidak wujud.

“Kerajaan Madani wujud atas prinsip menerima dan menghormati titah nasihat YDP Agong ke-16 ketika itu.

“Justeru amat wajar titah adendum itu juga dihormati oleh Kerajaan Madani. UMNO konsisten dan tidak menikam serta bercuriga,” katanya dalam kenyataan.

Wan Rosdy memfailkan afidavit tersebut menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co, di Mahkamah Tinggi, pada Selasa minggu lalu.

Naib Presiden Umno itu berkata dia dimaklumkan mengenai titah diraja itu oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam satu mesyuarat pada 30 Januari.

Beliau merupakan pemimpin kedua daripada UMNO selepas Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit berkaitan titah diraja mengenai tahanan rumah terhadap Najib.

“Apabila Menteri Besar Pahang Wan Rosdy failkan afidavit menyokong afidavit Zahid Hamidi ia mesej yang paling kuat dari UMNO.

“Zahid adalah Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri. Wan Rosdy pula adalah Naib Presiden kanan UMNO dan Menteri Besar Pahang. Itulah setiakawan UMNO membela Najib,” kata Mohd. Puad.

Dalam affidavit Wan Rosdy berkata, selain dia dan Ahmad Zahid turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memberitahu bahawa ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Aging XVI telah pun keluarkan keputusan permohonan pengampunan (keputusan pertama) iaitu mengurangkan perintah penjara sebanyak 50 peratus dan hukuman denda pula kepada RM50 juta sahaja.

“Kedua, dengan terbit keputusan pertama, ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI telah mengeluarkan satu lagi perintah (perintah adendum) yang memerintahkan supaya pemohon menjalani dengan serta merta hukuman penjaranya di dalam keadaan di rumah kediaman pemohon dan bukan di mana-mana penjara,” kata Wan Rosdy.-MalaysiaGazette

 

 



Source link

OR

Scroll to Top