Annuar dakwa ramai ahli UMNO tinggalkan parti tidak akan kembali

Annuar dakwa ramai ahli UMNO tinggalkan parti tidak akan kembali


KUALA LUMLUR – Tan Sri Annuar Musa mendakwa ramai ahli UMNO yang keluar meninggalkan parti tidak akan kembali.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional UMNO itu turut mendakwa, ahli UMNO yang keluar itu bukan lagi seperti dulu dan tidak takut memilih haluan sendiri serta menukar ‘kiblat’.

Malah katanya, tidak hairan sekiranya beribu-ribu cawangan parti itu terbiar dan gagal atau enggan mengadakan mesyuarat.

“Mereka bukan lagi seperti dulu…Tidak hairan kalau beribu-ribu cawangan terbiar dan gagal atau enggan bermesyuarat. Berjuta penyokong menukar ‘kiblat’ dari satu PRU (pilihan raya umum) ke satu PRU.

“Ratusan ribu ahli tidak segan silu memilih untuk tidak ikut ‘menjilat’. Malah sebaliknya tidak takut untuk memberi pelbagai isyarat..memilih haluan sendiri dan menukar ‘kiblat’.

“Yang pasti ,ramai yang pergi tidak akan kembali lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Annuar mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengenai peluang kedua kepada bekas ahli yang memohon semula keahlian selepas disingkirkan semasa proses pemutihan parti.

Menurut Annuar, kenyataan dikeluarkan MKT UMNO itu disifatkan tidak berwibawa dan tidak perlu diberi perhatian serius.

“Saya awalnya enggan memberi reaksi, pertama kerana kenyataan itu tiada wibawa. Dalam UMNO sekarang hanya seorang memutuskan semua perkara.

“Yang lain hanya mengikut telunjuk. Justeru, kenyataan seorang ahli MKT tak perlu diberi perhatian serius.

“Pandangan saya tidak releven kerana terpulang pada mereka mahu ke mana dalam politik. Itu hak individu. Yang pasti ada pilihan yang banyak..tepuk dada tanya selera.

“Pada pandangan saya, tidak ada mana mana parti boleh anggap mereka sebagai ‘indispensable’ atau tidak boleh berganti. Satu tolak berpuluh yang lain membuka pintu dan menanti,” katanya yang merupakan bekas ahli Parlimen Ketereh.

Justeru Annuar berkata, pokok pangkalnya perlu bertanya diri sendiri untuk apa mendukung atau menyokong sesuatu parti, apatah lagi jika sudah rosak angkara pemimpinnya. – MalaysiaGazette

 



Source link

OR

Scroll to Top