June 14, 2024

Ahmad Jais mohon maaf gagal kekang penguasaan Thailand



sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya minta maaf semua kerana gagal memecah dominasi Thailand.”

Itu antara luahan ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun apabila pasukan negara gagal merealisasikan hasrat peminat tanah air untuk muncul juara dalam acara regu berpasukan selepas tiga dekad menanti.

Jelasnya, dalam perlawanan akhir menentang Thailand hari ini, ternyata terdapat perbezaan agak ketara dari ketiga-tiga regu yang diturunkan berbanding lawan mereka itu.

Selain itu, beliau juga mengingatkan pemain negara bahawa untuk mencapai sesuatu kejuaraan, ia memerlukan usaha keras bagi mencapai kejayaan di pentas dunia.

“Saya bagi pihak pasukan kebangsaan memohon maaf kepada semua peminat kerana gagal memecah dominasi Thailand. Secara peribadi kita lihat beberapa elemen dalam permainan khusus regu kedua dan ketiga.

“Itu antara penyebab kita gagal memberi saingan kepada pasukan Thailand dan kita kena sedar, bahawa tiada jalan mudah untuk pemain kita capai prestasi terbaik dan kita akan berlipat gandakan usaha untuk memperbaiki prestasi dan mempersiapkan pasukan bagi kejohanan antarabangsa selepas ini,” katanya selepas perlawanan akhir di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Tambahnya, Malaysia akan menghadapi satu lagi kejohanan besar iaitu Piala Raja Thai yang akan diadakan di Bangkok, Thailand pada September nanti dan beliau akan menggunakan masa yang ada ini untuk membentuk kembali pasukan dan membaiki kekurangan yang ada pada pasukan negara.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal menamatkan kemarau 33 tahun dalam acara regu berpasukan selepas tewas 1-2 kepada Thailand dalam perlawanan akhir di Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Terdahulu trio utama negara, Mohammad Syahir Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) bermula baik dengan menyumbang mata pertama buat negara selepas mempamerkan kebangkitan penuh dramatik namun dua regu selepas itu gagal meneruskan momentum kemenangan sekali gus terpaksa akur kepada kehebatan skuad Gajah Perang itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top