July 19, 2024

Ahmad Zahid ingatkan UMNO Sabah untuk fokus bina kekuatan parti

Ahmad Zahid ingatkan UMNO Sabah untuk fokus bina kekuatan parti


KIMANIS – membina kekuatan parti terlebih dahulu, sebelum mengadakan rundingan bagi membentuk kerjasama politik dengan parti lain, demikian peringatan diberikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata prinsip tersebut perlu dipegang, bagi memperkukuhkan UMNO Sabah di semua peringkat dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.

“Soal kita mahu kerjasama dengan siapa itu jangan kira. Jangan berunding ketika kita lemah, pegang ini. Kita hanya berunding bila kita ada kekuatan.

“Bina kekuatan dahulu baharu kita berunding, insya-Allah orang yang berunding itu akan bersama-sama dengan kita, tiada akan ikut orang yang lemah,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kimanis di Bongawan dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua UMNO Bahagian Kimanis Datuk Mohamad Alamin yang juga Timbalan Menteri Luar Negeri.

Ahmad Zahid berkata beliau optimis, UMNO mampu kembali dominan dalam arena politik Sabah berdasarkan kepada sokongan padu serta keyakinan diberikan oleh ahli-ahlinya, yang dilihat sepanjang merasmikan empat mesyuarat bahagian UMNO di negeri itu, sejak semalam.

Oleh itu, beliau menggesa pemimpin UMNO Sabah supaya tidak hanya menggunakan kebijaksanaan dalam merangka strategi, tetapi juga memberi sepenuh komitmen bagi menebus dan mengembalikan semula maruah parti dalam PRN akan datang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan semua pemimpin dan ahli UMNO supaya sentiasa istiqamah dengan perjuangan dan berpendirian teguh serta mengutamakan parti.

“Jangan pernah jadi lalang. Mesti ada pendirian. Kita utamakan parti dahulu. Soal tawaran itu kemudian,” katanya. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top