PCS akan terus kekal kukuh bersama GRS – Anifah

PCS akan terus kekal kukuh bersama GRS – Anifah


KUALA LUMPUR – Parti Cinta Sabah (PCS) berhasrat untuk memperkukuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) susulan penerimaan kemasukannya ke dalam gabungan tersebut pada 22 Mei lalu.

Presiden PCS, Tan Sri Anifah Aman melahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor kerana menerima parti itu.

Bercakap di hadapan perwakilan PCS, Anifah yang juga mantan Menteri Luar mengakui terdapat keraguan awal dan cabaran daripada pihak luar tetapi menegaskan komitmen PCS terhadap kestabilan politik dan hak rakyat Sabah.

“Walaupun terdapat laporan media sinis dan kebimbangan luar terhadap kemasukan kami ke dalam GRS tetapi apa yang kita tawarkan kepada GRS adalah politik kestabilan yang diterajui oleh parti-parti tempatan.

“Sebenarnya kerjasama antara parti komponen GRS akan meningkatkan suara kolektif dan kredibiliti semua parti komponen GRS termasuk PCS dalam membawa aspirasi dan perjuangan hak Sabah kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada ucapan Persidangan Agung tahun ke-3 PCS hari ini. 

Mengimbau perjalanan PCS sejak beliau memimpin parti itu dari tahun 2020, Anifah menyatakan semangat juang parti  masih utuh walaupun tidak memenangi Pilihan Raya Negeri dan beberapa pemimpin telah meninggalkan parti itu.

Beliau menekankan komitmen tidak berbelah bahagi PCS untuk berkhidmat kepada rakyat dan memperjuangkan hak Sabah, khususnya pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Anifah juga menekankan kepentingan kemajuan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur selain menekankan matlamat hanya dapat dicapai jika hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dipenuhi.

Beliau mengulangi kewajipan Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil Persekutuan yang dikutip di negeri ini yang akan meningkatkan projek pembangunan tempatan dengan pesat.

Selain itu juga, Anifah memuji inisiatif kerajaan baru-baru ini yang sejajar dengan manifesto PCS sebelum ini, seperti usaha untuk menghalang lompat parti dalam kalangan wakil rakyat.

“Saya juga teruja dengan kerjasama kerajaan negeri dengan Petronas untuk melibatkan syarikat milik negeri dalam penerokaan minyak dan usaha berterusan untuk menambah kerusi parlimen Sabah. Ini juga asas perjuangan PCS dalam berjuang untuk rakyat Sabah.

“Sebagai Pengerusi Invest Sabah Berhad, saya juga merancang untuk membawa universiti asing ke Sabah, menyediakan peluang pendidikan berkualiti untuk belia tempatan dan memastikan biasiswa untuk pelajar- pelajar Sabah yang layak,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebagai persediaan, PCS untuk Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada tahun 2025, Anifah menyeru semua ahli parti untuk memperkukuhkan jentera mereka dan menyokong gabungan GRS.

Kata beliau, perwakilan perlu memilih pemimpin yang berpengalaman dan komited semasa persidangan tersebut bagi mengekalkan pengaruh parti dalam landskap politik Sabah.

“Kita mesti menegakkan prinsip ‘Sabah First’ untuk memastikan parti tempatan mentadbir Sabah demi manfaat generasi akan datang,” tegasnya. -MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top