Laporan Sukan Sinar sebelum ini. Gambar kecil: Nova
PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin, membuktikan kebangkitannya apabila merangkul gelaran Cabaran Antarabangsa Sri Lanka.
Kemenangan ini menandakan pencapaian penting dalam usahanya membina semula karier di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman dari Indonesia, Nova Armada.
Aidil, yang kini menunjukkan prestasi memberangsangkan, menewaskan pemain India, Pranay Katta (ranking ke-210 dunia) 21-19, 21-15 dalam aksi final yang mendebarkan di Colombo.
Nova berpuas hati dengan prestasi pemain berusia 25 tahun itu percaya dia mampu menembusi kelompok 32 terbaik dunia menjelang tahun depan.
“Sasaran saya buat Aidil ialah beraksi di peringkat lebih tinggi iaitu Jelajah Dunia. Menerusi kejuaraan itu, dia berada di landasan yang betul,” kata Nova.
Ia adalah gelaran pertama buat Aidil yang menghuni ranking ke-68 dunia selepas bergelar pemain profesional tahun lalu.
“Di Sri Lanka, sasaran adalah separuh akhir kerana saya mula melatihnya pada Ogos lalu, tetapi dia telah melepasi sasaran ini. Saya gembira dengan kemajuannya yang dicapainya setakat ini.
“Dalam kejohanan-kejohanan sebelum ini, dia kalah di suku akhir atau separuh akhir, namun kali ini dia berjaya melangkah jauh dan memenangi gelaran, jadi ini adalah kejayaan yang baik buatnya,”kata Nova.
Kejayaan tersebut menyaksikan Aidil menemui semula rentaknya selepas bergelut untuk menyesuaikan diri di Persatuan Badminton Malaysia (BAM)
“Dia telah menambah lebih banyak variasi dalam permainannya dan fizikalnya ketika ini lebih kuat. Dia perlu terus bekerja keras untuk meneruskan kejayaannya,”ujar Nova.
Sebagai rekod, Aidil memenangi gelaran pertamanya dalam Cabaran Antarabangsa Indonesia pada 2023.