Malam 'ngeri' di Israel: 100 cedera akibat serangan Iran

Malam 'ngeri' di Israel: 100 cedera akibat serangan Iran


Baitulmaqdis: Lebih 100 orang cedera selepas peluru berpandu Iran mengenai dua bandar di selatan Israel pada Sabtu, menurut petugas perubatan selepas sistem pertahanan udara Israel gagal memintas serangan itu.

Pasukan tindak balas pertama Magen David Adom (MDA) berkata, 84 orang cedera di bandar Arad dengan 10 daripadanya parah.

Kejadian itu berlaku beberapa jam selepas 33 orang dilaporkan cedera dalam serangan di bandar berhampiran iaitu Dimona.

Difahamkan, dua serangan tepat itu merobek bahagian hadapan bangunan kediaman dan membentuk kawah besar di tanah.

Dalam pada itu, televisyen negara Iran berkata, serangan peluru berpandu ke atas Dimona yang menempatkan kemudahan nuklear adalah ‘tindak balas’ terhadap serangan terdahulu ke atas tapak nuklearnya di Natanz.

Rakaman AFP dari Arad menunjukkan, pekerja penyelamat menyelongkar runtuhan sebuah bangunan yang musnah akibat letupan bagi mencari mangsa cedera.

Pasukan bomba berkata, pemintas dilancarkan di Dimona dan Arad tetapi gagal mengenai ancaman, menyebabkan dua serangan tepat oleh peluru berpandu balistik dengan kepala peledak seberat ratusan kilogram (kg).

Tentera Israel bagaimanapun memaklumkan, pihaknya akan menyiasat insiden itu.

Sementara itu, jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Effie Defrin berkata, sistem pertahanan udara beroperasi tetapi tidak berjaya memintas peluru berpandu berkenaan.

Perkhidmatan bomba tempatan berkata, terdapat kerosakan besar di Arad dengan tiga bangunan terjejas dan kebakaran tercetus di salah satu daripadanya.

Petugas perubatan, Riyad Abu Ajaj menggambarkan kemusnahan besar di lokasi serangan dan menyatakan keadaan di tempat kejadian sangat kelam-kabut.

Petugas perubatan berkata, mereka merawat 33 orang cedera di Dimona termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang mengalami kecederaan serpihan bom dan berada dalam keadaan serius tetapi sedar.

Susulan itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar, untuk terus menyerang Iran dan sekutunya selepas apa yang disifatkannya sebagai ‘malam yang sangat sukar’.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top