Akinade tak sabar turun beraksi Piala FA

Akinade tak sabar turun beraksi Piala FA


KUALA NERUS – Penyerang import Terengganu FC (TFC) Ismaheel Akinade tidak sabar untuk turun beraksi pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Sabah FC di Stadium Likas, Sabtu ini.

Selepas berjaya meledak dua gol pada aksi suku akhir pertama, pemain kelahiran Nigeria berusia 30 tahun itu semakin ghairah untuk tampil dengan prestasi lebih cemerlang bagi membantu skuad Penyu mara ke peringkat separuh akhir.

Akinade berkata beliau yakin dengan semangat juang dan disiplin yang tinggi, skuad Penyu mampu mengulangi kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala FA pada 2022.

“Alhamdulillah, kami bermain dengan baik pada perlawanan pertama. Saya fikir kita perlu bertahan dengan baik dan menggunakan peluang diperolehi di Sabah.

“Tentu sekali saya ingin menjaringkan lebih banyak gol untuk membantu pasukan kami supaya kami tiada masalah untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Sudah tentu kami bersedia untuk separuh akhir. Kita ambil satu perlawanan ke satu perlawanan… kami perlu menang perlawanan hujung minggu ini dahulu dan insya-Allah nama pasukan kami akan berada dalam undian separuh akhir,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam pada itu, Akinade berkata beliau juga berharap dua jaringannya pada perlawanan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) minggu lalu sedikit sebanyak mampu menutup mulut pengkritik bola sepak terhadap prestasinya pada musim pertama bersama skuad Penyu.

Menurut beliau, walaupun hanya menjaringkan satu gol dalam empat perlawanan Liga Super musim ini, beliau tetap memainkan peranan dalam membantu pasukan mengekalkan rekod tanpa kalah untuk berada di tangga ketiga liga.

“Saya tidak fikir prestasi saya kurang baik. Selain dari menjaringkan gol, saya telah membantu pasukan dari segi pertahan. Saya bermain sebaik pemain lain. Ia bukan hanya mengenai jaringan gol, pasukan in sebenarnya bekerja keras dalam membantu antara satu sama lain,” katanya. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top