Akmal junjung titah nasihat Agong isu kalimah Allah pada stoking

Akmal junjung titah nasihat Agong isu kalimah Allah pada stoking



am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, beliau menjunjung titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya menjaga keharmonian negara dan memelihara kesucian Islam.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menasihatkan supaya polemik yang berlaku dapat diredakan.

“Saya menjunjung titah di atas nasihat KDYMM Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga keharmonian negara dan memelihara kesucian agama Islam agar polemik yang berlaku dapat diredakan,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu dalam hantaran rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda menerima menghadap pimpinan kanan Umno dan DAP di Istana Negara.

Pemimpin yang hadir pada sesi itu ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong dan Dr Akmal.

Dr Akmal turut mendoakan semoga Yang di-Pertuan Agong dikurniakan kekuatan dan kesihatan serta terus kekal bersemayam di singgahsana dan dapat memerintah negara dengan penuh kedaulatan dan kebesaran.

Baru-baru ini, Dr Akmal yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka itu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, sebelum ini ditahan sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Sabah, oleh sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Muhamad Akmal disoal siasat selama hampir dua jam sebelum dibebaskan pada hari sama selepas rakaman percakapan terhadapnya selesai dijalankan.

Sebelum ini Muhamad Akmal, secara lantang dalam beberapa siri ceramahnya menyuarakan kempen boikot kedai serbaneka KK Mart yang berhadapan dengan isu penjualan stoking kalimah Allah.

Pada 3 April lalu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, mengadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bagi memohon maaf berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.

Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Kee Kan selama 15 minit di Istana Negara, dan menasihatkan semua pihak termasuk KK Mart perlu lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelak perkara sedemikian berulang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top