PEMAIN Qatar, Akram Afif dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) buat kali kedua.
Kiko Seike dari Jepun pula merangkul gelaran pemain wanita terbaik badan induk bola sepak Asia di Seoul pada Selasa.
Afif, yang sebelum ini memenangi anugerah itu pada 2019, dihadiahkan trofi berprestij berkenaan selepas memainkan peranan penting memacu Qatar mempertahankan kejuaraan Piala Asia di tanah air awal tahun ini.
“Saya gementar seperti hendak mengambil penalti pada perlawanan akhir.
“Saya berterima kasih kepada isteri saya dan semua ahli pasukan kebangsaan, jurulatih, pentadbir dan pasukan perubatan.
“Saya akan cuba lagi untuk memenangi anugerah ini buat kali ketiga,” kata Afif ketika menerima anugerah itu.
Pada Februari, penyerang Al-Sadd berusia 27 tahun itu menjadi pemain pertama menjaringkan hatrik dalam fianl Piala Asia dan menjaringkan lapan gol sepanjang kejohanan untuk mendapatkan anugerah itu di hadapan pemain Jordan Yazan Al-Naimat dan Seol Young-woo dari Korea Selatan.
Afif menjadi pemain ketiga yang memenangi trofi lebih daripada sekali, mengikut jejak langkah Hidetoshi Nakata dari Jepun, yang menang pada 1997 dan 1998, dan Server Djeparov dari Uzbekistan, pemenang pada 2008 dan 2011.
Sementara itu, Seike menggantikan Sam Kerr dari Australia untuk memenangi anugerah wanita mengatasi Cortnee Vine dari Australia dan Kim Hye-ri dari Korea Selatan dan merupakan pemain Jepun keempat merangkul gelaran itu selepas Homare Sawa, Saki Kumagai dan pemenang tiga kali Aya Miyama.
Prestasi penyerang itu adalah kunci kepada kejayaan Urawa Red Diamonds dalam Kejohanan Kelab Wanita Asia pada 2023 serta membantu kelabnya merangkul kejuaraan liga domestik Jepun kedua berturut-turut sebelum menandatangani kontrak dengan Brighton & Hove Albion pada Julai.
“Saya sangat gembira menerima anugerah berprestij ini.
“Saya akan terus melakukan yang terbaik untuk kelab, pasukan kebangsaan dan meningkatkan nilai bola sepak Asia,” kata Seike melalui mesej video, yang tidak dapat menghadiri majlis itu kerana komitmen berterusan dengan pasukan kebangsaan Jepun.
Son Heung-min dari Tottenham Hotspur dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Antarabangsa Lelaki AFC dan Ellie Carpenter dari Australia memenangi anugerah wanita, mengiktiraf pemain yang telah memberi impak terbesar di pentas global di luar pertandingan Asia.
Go Oiwa memenangi gelaran Jurulatih Terbaik selepas membawa Jepun ke Piala Asia Bawah 23 (B-23) dan suku akhir Sukan Olimpik dengan Park Young-jeon, ketua jurulatih B-20 Korea Selatan, memenangi gelaran wanita.