Pelakon dan pengacara, Janna Nick akhirnya kembali ke tanah air demi melunaskan janjinya selain memberikan sokongan terhadap rakan baiknya, Azar Azmi susulan kontroversi yang menimpa.
Kata Janna, dia berharap Azar terus bangkit dan bersemangat untuk membina nama dan kariernya semula selepas terpalit dengan isu penipuan membabitkan suaminya.
“Geram tau bila kawan menghilang. Aku tahu dia penat dengan segalanya tapi tetap kuat demi anak-anak.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan kau. Janji, jangan lari dan hilang lagi.
“Aku tak mahu kau lalui jalan yang sama lagi. Semoga Allah limpahkan rezeki kau, bagi peluang yang seronok untuk kau,” katanya di Instagram.
Dalam masa sama, Azar dilihat gagal menahan sebak selepas melihat inisiatif Janna untuk pulang ke tanah air demi dirinya.
Terdahulu, isu keperitan hidup Azar mula meraih perhatian ramai selepas dia ditahan reman oleh pihak polis pada Mac 2026 bagi membantu siasatan kes penipuan jualan tanah dan darjah kebesaran bernilai RM1.5 juta yang melibatkan suaminya.
Malah, Janna sebelum ini menerusi kenyataannya mengakui terkejut apabila suami pelakon itu mendakwa Azar menghidap penyakit kanser dan menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan.






