KOTA BHARU: Pemain import dari Korea Selatan Albert Kang menjadi wira Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) apabila jaringannya pada masa tambahan membolehkan skuad Kijang Emas meriah keputusan seri 1-1 dengan Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Turun dengan misi meriah kemenangan, tuan rumah dilihat terkial-kial mencari rentak apabila lawan dilihat banyak menguasai perlawanan.
Minit kelapan, skuad Harimau Kumbang terlepas peluang memperoleh gol pertama apabila jaringan Brendon Da Silva pada minit kelapan dibatalkan akibat offside.
Asakan berterusan pelawat untuk mendapatkan jaringan akhirnya menjelma pada minit ke-33 apabila Wenzel Halls menjaringkan gol pertama buat skuad Harimau Kumbang dan keputusan itu kekal hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, Kelantan TRW cuba bangkit untuk mendapatkan jaringan penyamaan dan peluang terbaik hadir pada minit ke-54, namun penjaga gol Penang FC Mohamad Ramadan Abd. Hamid bertindak tangkas menyelamatkan keadaan.
Tiga minit berselang, pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Ahmad Irfan Mohd. Noor dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan selepas melakukan kekasaran ke atas tonggak Kelantan TRW, Syafik Ismail pada minit ke-57.
Mohamad Ramadan membuktikan ketangkasannya mengawal gawang Penang FC apabila menepis keluar rembatan kencang Asraf Aliffudin pada minit ke-64.
Minit ke-79, Mohamad Ramadan terus menjadi penyelamat apabila menepis keluar rembatan kencang pemain Kelantan TRW Alexandre Yeoule.
Tuan rumah terus bergelut untuk mendapatkan jaringan penyamaan, apabila skuad bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail kental bertahan meskipun beraksi dengan 10 pemain.
Ketika perlawanan tampak berpihak kepada Penang FC, Albert menjadi wira Kelatan TRW apabila menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan sekali gus memboleh pasukannya meraih satu mata.
Keputusan itu memberikan sedikit kelegaan buat Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang berhempas pulas memulihkan semula sokongan peminat ke atas Kelantan TRW.-UTUSAN






